439,286 individu lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19
KUALA LUMPUR 18 April. – Seramai 439,286 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata bagi tempoh sama, 695,729 individu menerima dos pertama, menjadikan keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara ini kini berjumlah 1,135,015.
Menerusi satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya hari ini, Dr Adham berkata lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 98,469, diikuti Kuala Lumpur (78,087), Sarawak (68,608), Johor (65,159) dan Perak (57,200).
Lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 tertinggi setakat ini pula ialah Selangor dengan 63,160 individu, Perak (48,802), Sabah (43,268), Kuala Lumpur (38,642) dan Pahang (33,833).
Sementara itu, jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan adalah seramai 8,946,750 atau 36.9 peratus dengan Selangor kekal merekodkan angka tertinggi sebanyak 2,356,484 pendaftaran.
Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini, melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya, manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 melibatkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.