Nenek rugi RM18,000 diperdaya Love Scam
AYER KEROH 16 April – Nenek berusia 71 tahun kerugian RM18,000 selepas menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki dipercayai sindiket Love Scam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, kejadian bermula apabila warga emas berkenaan mengenali suspek menerusi laman sosial Facebook pada 27 Mac lalu.
Menurutnya, suri rumah itu kemudian meneruskan hubungan bersama suspek dan sering berkomunikasi menggunakan aplikasi WhatsApp.
“Selepas itu, suspek memberitahu mangsa yang dia akan belayar menaiki kapal kargo untuk ke Jepun bagi menjalankan projek membuat landasan kereta api.
“Lelaki itu kemudian memberitahu mangsa kononnya dia telah ditahan dan dibawa ke pelabuhan Melaka sebelum meminta warga emas itu membuat bayaran untuk membebaskannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa yang percaya dengan lakonan suspek telah meminta bantuan anak saudaranya untuk membuat bayaran seperti yang diminta.
“Anak saudara mangsa telah membuat tujuh kali transaksi pembayaran berjumlah RM18,000 ke tiga akaun bank yang berbeza diberikan suspek.
“Selepas pembayaran dibuat suspek masih meminta wang daripada mangsa atas alasan suspek telah ditahan oleh pihak kastam kerana membawa sejumlah wang yang banyak,” katanya.
Sundra berkata, bagaimanapun anak saudara mangsa kemudian mengesyaki ibu saudaranya telah ditipu dan menasihatinya membuat laporan polis.
Jelasnya, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Minyak semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun keseksaan kerana menipu.
“Kita percaya, dalam penipuan Love Scam atau African Scam ini, suspek bukanlah warga Afrika kerana menggunakan Bahasa Melayu untuk berkomunikasi.
“Jadi polis meminta orang ramai lebih berhati-hati dan jangan mudah terjerat dengan cinta laman sosial seperti ini yang banyak dilaporkan sebelum ini,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai disarankan memuat naik aplikasi ‘semak mule CCID’ melalui Playstore untuk membuat semakan terhadap nombor telefon dan nombor akaun bank sebelum membuat sebarang urusan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.