KM Sulaiman ziarah mangsa kebakaran
LENDU 15 April. – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran rumah di Kampung Durian Daun, hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook rasminya, Sulaiman melawat keluarga terbabit sejurus mendapat pengkhabaran duka pagi tadi.
Menurut Sulaiman, lebih memilukan tragedi yang berlaku itu tatkala umat Islam sedang menyambut hari ketiga Ramadan.
“Tak menunggu lama, saya mengambil keputusan untuk menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada Puan Nurisah Tahir, 79, mewakili enam ahli keluarganya yang terjejas akibat kebakaran berkenaan.
“Saya juga berbual dengan Sulaiman Kaus yang menceritakan detik menyelamatkan semua ahli keluarganya hingga anggota badannya sendiri melecur akibat kebakaran,” katanya.
Katanya, walaupun kebakaran itu memusnahkan kira-kira 90 peratus struktur rumah pusaka itu, namun beliau bersyukur semua ahli keluarga terbabit terselamat daripada kebakaran itu.
“Saya juga minta semua agensi yang terlibat termasuk Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Lendu untuk menyalurkan bantuan segera.
“Saya juga sudah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan MPAG untuk membersihkan tapak rumah.
“Selain itu saya memohon Lembaga Perumahan Melaka (LPM) untuk membina sebuah rumah tiga bilik bagi keperluan ahli keluarga itu. Insya-Allah, semoga dipermudahkan,” katanya.
Lawatan itu turut disertai Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Wira Latipah Omar dan Yang Dipertua MPAG, Mohd Fadhil Hassan.
BERITA BERKAITAN: https://www.melakahariini.my/saya-tidak-sedar-bila-tangan-saya-melecur/
: https://www.melakahariini.my/dugaan-ramadan-rumah-pusaka-baju-raya-anak-musnah/
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.