5 peniaga pasar Ramadan Taman Rambai Jaya terima notis
BUKIT PALAH 15 April. – Seramai lima peniaga di pasar Ramadan Taman Rambai Jaya diberikan notis oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kerana kesalahan tidak mengawal penjarakan fizikal membabitkan pengunjung, setakat semalam.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Zainal Abu berkata, notis amaran itu bagi memastikan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) diutamakan selepas isu kepadatan pengunjung di pasar Ramadan itu tular pada hari pertama Ramadan lalu.
Katanya, sekiranya notis dan amaran itu terus diabaikan, pihaknya tidak teragak-agak menutup pasar Ramadan berkenaan bagi membendung kewujudan kluster di pasar Ramadan.
“Saya tidak meletakkan kesalahan di bahu penganjur dan peniaga sahaja, tetapi ia lebih dalam kalangan pengunjung kerana mereka sepatutnya lebih takut jika bersesak-sesak untuk membeli juadah berbuka.
“Kalau sampai satu tahap kita tengok benda ini tidak boleh dikawal, kita terpaksa batalkan pasar Ramadan itu dan mungkin kita akan kembali kepada pasar Ramadan secara dalam talian seperti dipraktikkan tahun lalu.
“Saya tidak akan teragak-agak kerana nyawa dan keselamatan orang ramai lebih penting dalam situasi ini,” katanya ditemui dalam program Santuni Kasih Permata Hati sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-18 Bandaraya Melaka Bersejarah di Hospital Melaka, pagi tadi.
Ditanya berhubung sistem kemasukan pengunjung ke pasar Ramadan di bawah kawasan MBMB, Zainal berkata, pihaknya sedang meneliti mekanisme terbaik yang boleh memberi ‘situasi menang-menang’ kepada pengunjung dan peniaga.
Katanya, MBMB sebelum ini tidak menggunakan sistem nombor seperti di tempat lain kerana sistem itu membuatkan pengunjung beratur panjang dan sekali gus ia boleh memberi impak kepada peniaga.
“Kalau orang ramai terpaksa beratur sampai 200 atau 300 meter mungkin ada yang akan balik dan melupakan hasrat membeli juadah berbuka. Itu akan memberi impak kepada peniaga.
“Orang ramai sepatutnya sudah tahu SOP yang patut dipraktikkan kerana COVID-19 bukan benda baharu,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.