Harga barangan di pasar basah terkawal menjelang Ramadan

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

MALIM 13 April. – Harga barangan basah seperti ayam proses, daging, ikan dan sayuran yang dijual di beberapa pasar utama di negeri ini masih pada harga biasa dan tiada kenaikan mendadak pada Ramadan.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) ke Pasar Borong Hang Tuah Jaya dan Pasar Basah Bachang mendapati beberapa gerai mengurangkan harga dengan perbezaan sekitar RM0.20 hingga RM0.40 sen bagi sekilogram barangan basah yang dijual.

Beberapa gerai menjual ayam siap diproses menawarkan harga sekitar RM7.80 sehingga RM8.20 sekilogram kepada pelanggannya.

HARGA ayam sekitar RM7.80 hingga RM8.20 sekilogram,

Seorang peniaga, Azmi Ghani,54, berkata, perbezaan kecil harga itu bagi menarik pelanggan.

Jelasnya, stok bekalan ayam di negeri ini masih mencukupi menjelang Ramadan dan harga yang ditetapkan itu adalah munasabah dan kebiasaannya akan naik menjelang Syawal nanti.

AZMI… perbezaan kecil harga itu bagi ‘memancing’ pelanggan.

“Harga ayam proses naik menjelang Hari Raya itu perkara biasa, tapi selalunya peniaga yang akan dipersalahkan sedangkan pembekal yang menetapkan harga.

“Kita tidak tahu ke mana stok ayam ini pergi dan setiap kali nak Raya harganya pasti akan naik, umpama masalah tahunan di setiap pasar dalam negara.

“Jika pembekal naikkan harga kurangkan stok, kita pun terpaksa akur kerana perlukan keuntungan dalam jualan,” katanya.

CHANDRA (baju kelabu) melayan pelanggan di gerai sayurannya..

Tinjauan di Pasar Basah Bachang mendapati orang ramai mengambil kesempatan cuti Awal Muharam untuk membeli barangan keperluan harian.

Peniaga sayur, Chandra Arumugam, 45, berkata, setakat ini tiada catuan bekalan sayuran di pasar itu biarpun harganya meningkat sedikit.

“Harga sayur-sayuran tempatan meningkat sedikit di bawah 30 peratus berbanding sayur yang dibekalkan dari negeri lain tetapi keseluruhannya masih terkawal.

“Namun, harganya mungkin lebih mahal ketika musim hujan, tapi kita cuba untuk mengawalnya kerana kali ini kita diberi peluang berniaga bagi menjana pendapatan,” katanya.

Penjual daging, Zulhilmi Zolkilpi bersyukur kerana dalam tempoh pasca COVID-19 sambutan pelanggan untuk membeli daging segar memuaskan sejak beberapa hari lalu.

ZULHILMI (kiri)…bersyukur kerana dalam tempoh pasca COVID-19 permintaan terhadap daging segar amat memuaskan.

“Alhamdulillah sambutan tetap ada di pasar ini dan tiada rungutan diterima dari pelanggan mengenai harga jualan yang kami tetapkan.

“Harga jualan daging di sini masih terkawal dan perbezaan antara gerai hanya sekitar RM2 hingga RM3 bagi sekilogram daging yang mungkin disebabkan faktor kesegaran daging dan saingan bagi menarik pelanggan,” katanya.

Tinjauan mendapati peniaga daging menjual daging batang pinang sekitar RM38 hingga RM40 sekilogram, daging segar (RM34 hingga RM37) dan organ seperti perut lembu (RM20 hingga RM22).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

908
Kongsi :
Previous post Bas pelancong terbakar, lima termasuk dua kanak-kanak maut
Next post Ingkar SOP, sanggup bersesak beli juadah berbuka
Ubah saiz-+=