Daging segar jadi rebutan menjelang 1 Ramadan
AYER LIMAU 12 April. – Setiap kali menjelang 1 Ramadan, umat Islam di daerah Masjid Tanah, di sini akan meneruskan tradisi mendapatkan daging segar untuk dijadikan juadah anggota keluarga.
Tinjauan mendapati selain daging segar, daging batang pinang menjadi rebutan orang ramai untuk dijadikan hidangan istimewa anggota keluarga.
Bagi suri rumah, Norzilah Mohamad, 54, kehadiran awal Ramadan setiap tahun kurang bermakna tanpa daging batang pinang lembu atau kerbau, asalkan daging berkenaan dimilikinya untuk dihidangkan kepada suami dan tiga anak serta enam cucu.
“Setiap kali awal Ramadan, memang saya akan mendapatkan daging batang pinang yang dijual pada harga RM40 sekilogram berbanding daging biasa RM35 sekilogram,” katanya.
Beliau ditemui membeli daging dijual Mohd Sani Mohd Hashim, 42, di gerai sementara tepi Jalan Masjid Tanah-Kampung Paya Rumput, berhampiran Klinik Kesihatan Masjid Tanah, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Norzilah kecewa kerana usahanya untuk mendapatkan tulang tengkuk lembu gagal kerana ia sudah ditempah lebih awal oleh pelanggan lain.
Katanya, beliau terpaksa berpuas hati dengan hanya dua kilogram (kg) daging batang pinang yang diperoleh kerana Mohd Sani terpaksa membahagikan daging berkenaan kepada beberapa pelanggan lain yang turut menggemarinya.
“Batang pinang lebih lembut berbanding daging bahagian yang lain manakala tulang tengkuk pula menjadi rebutan kerana daging banyak terselit pada celah tulang itu,” katanya.
Sementara itu, Mohd Sani berkata, beliau menyembelih dua lembu awal pagi ini untuk meneruskan tradisi menyediakan daging segar untuk pelanggan.
“Alhamdulillah, saya dan beberapa anak saudara menyembelih lembu kira-kira jam 3 pagi tadi untuk direpang atau dipotong kepada empat paha, selain tulang dipotong kecil untuk pelanggan.
“Sejak 10 tahun lalu saya menyediakan daging segar lembu dan kerbau untuk membolehkan pelanggan menyambut 1 Ramadan,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan pengalaman lazimnya dua atau tiga haiwan ternakan itu yang disembelih awal pagi sebelum dijual pada jam 7 pagi, habis dijual dalam tempoh tiga jam.
Katanya, bahagian lain seperti perut, lidah dan ekor sudah ditempah pelanggan yang mengusahakan kedai makan di sekitar pekan ini dan Alor Gajah.
Katanya, menjelang Aidilfitri, beliau bercadang menyembelih tidak kurang daripada 10 lembu atau kerbau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.