53 individu ditahan terbabit aktiviti dadah
AYER KEROH 12 April. – Sepasang suami isteri antara 53 individu ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah menerusi Op Sarang / Tapis, semalam.
Operasi bersepadu itu dijalankan tengah malam kelmarin dan berakhir pada jam 4.30 petang semalam oleh sepasukan pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.
Ketua JSJN negeri Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, operasi itu dijalankan oleh 87 pegawai dan anggota di 49 lokasi di Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah, manakala semua yang ditahan termasuk tiga wanita berusia antara 18 hingga 60 tahun.
Katanya, menerusi sebuan itu polis merampas dadah methamphetamine seberat 12.88 gram dan heroin seberat 54.93 gram yang keseluruhannya bernilai RM4,049.
“Polis juga menahan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah jenis heroin seberat 53.15 gram dianggarkan bernilai RM2,657 dan methamphetanie seberat 6.97 gram bernilai RM697.
“Turut dirampas motosikal jenis Yamaha LC 135 bernilai RM4,000,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, dalam operasi sama turut ditahan sepasang suami isteri berusia 33 dan 28 tahun dan seorang lagi wanita berusia 21 tahun dipercayai sepupu kepada suspek wanita, di sebuah hotel di Rembia dalam serbuan pada jam 2.50 pagi semalam.
“Turut dirampas dalam serbuan itu, dadah jenis methaphetamine seberat kira-kira 0.99 gram dan semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan jenayah serta dadah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.