NCT daftar 2,000 keahlian golf dengan AKCCB bagi tingkatkan pelancongan sukan di Melaka
MELAKA 12 April. – NCT Group of Companies (NCT Group) telah mendaftar untuk 2,000 keahlian golf dengan Ayer Keroh Country Club Bhd (AKCCB) bagi membantu meningkatkan pembangunan pelancongan sukan di Melaka.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Seri Yap Ngan Choy berkata, dengan pembangunan Ion Forte Green City (IFGC) NCT di Ayer Keroh Country Club, kerjasama itu akan membolehkan pembeli menikmati keahlian golf secara percuma dengan pembelian hartanah mereka.
Beliau berkata pendaftaran untuk perjanjian keahlian dengan AKCCB akan melengkapkan gaya hidup dan pengalaman yang ditawarkan oleh IFGC.
“Gabungan kemudahan yang mewah dan moden serta persekitaran IFGC yang menarik, selain lokasinya yang strategik, merupakan komponen penting dalam visinya untuk mewujudkan konsep hidup yang sejahtera kepada bakal pembeli.
“Kami gembira dengan kemajuan pembangunan IFGC setakat ini dan kami menantikan pelancaran beberapa fasa berikutnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali serta Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Melaka dan Pengerusi AKCCB Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Turut hadir Timbalan Pengerusi AKCCB Datuk Zainal Abu, Pengarah AKCCB Datuk Othman Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif AKCCB Datuk Dr Ahmad Zaini Mohd Amin.
Sementara itu, Ahmad Zaini berkata: “Kami gembira dapat memulakan kerjasama ini dengan NCT Group, pemaju hartanah yang kukuh, berpengalaman dalam memulihkan projek yang terbengkalai di seluruh Malaysia.”
Beliau berkata tarikan IFGC terletak pada lokasinya yang unik berada di tanah seluas 23 ekar (9.3 hektar) dalam AKCC yang mempunyai padang golf 27 lubang.
“Kerjasama ini akan memberi manfaat kepada pembeli IFGC berikutan mereka tidak terhad kepada menggunakan keahlian golf mereka hanya di AKCC tetapi juga di padang golf lain yang bergabung dengan kami, di dalam dan luar negara.
“Kami optimis dengan sambutan untuk pakej menarik ini berikutan kami memanfaatkan potensi Melaka sebagai destinasi pelancongan sukan,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.