Pulau Besar, Jalan Harmoni di Jonker Street jadi subsektor pelancongan agama

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

ALOR GAJAH 11 April – Pulau Besar akan menjadi antara kawasan pembangunan subsektor pelancongan agama selain Jalan Harmoni di Jonker Street yang menjadi bukti kewujudan agama berteraskan toleransi di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, kerajaan negeri kini sedang merangka program jejak sejarah sekurang-kurangnya lima agama yang wujud di Melaka sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka di bawah subsektor pelancongan ke-14 itu.

“Dua lokasi terbabit adalah Pulau Besar yang akan dibangunkan semula termasuk mengembalikan semula kewujudan pusat pengajian tahfiz sebelum ini dan Jalan Harmoni di Jonker Street

“Pulau Besar bukanlah pulau kurafat sebaliknya mempunyai karomahnya sebagai pencetus penyebaran Islam di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Kempen Promosi Shopp@ Melaka di Freeport A’ Famosa Outlet (FAO) di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Kanan Domestik dan Acara Tourism Malaysia Datuk Dr Ammar Abd Ghafar, Pengarah Urusan, A’ Famosa Resort Datuk Alex Lau Chir Nguan dan Pengurus Besar, Tourism Melaka Sa’ari Basiron.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, Jalan Harmoni di Jonker Street turut menjadi bukti kewujudan toleransi agama apabila menghimpunkan tiga rumah ibadat daripada tiga agama berbeza.

“Di situ terdapat Masjid Kampung Kling, Tokong Cheng Hoon Teng dan Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi,
yang mana ketiga-tiganya terletak bersebelahan antara satu sama lain.

“Ini membuktikan toleransi agama telah begitu lama wujud di Melaka, malah Malaysia adalah antara negara yang tidak pernah berlakunya perang agama,” katanya.

Tambahnya, di bawah pelancongan agama yang menjadi subsektor pelanconganan ke-14 itu, kerajaan negeri merancang untuk memperkenalkan program jejak agama seperti terbitan sebuah rancangan televisyen.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1439
Kongsi :
Previous post Hubungan UMNO-PAS masih baik – Mohamad Hasan
Next post NCT daftar 2,000 keahlian golf dengan AKCCB bagi tingkatkan pelancongan sukan di Melaka
Ubah saiz-+=