Hubungan UMNO-PAS masih baik – Mohamad Hasan

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KOTA LAKSAMANA 11 April – UMNO akan mendapatkan penjelasan mengenai penangguhan rundingan agihan kerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) antara parti itu dan PAS dalam Mesyuarat Muafakat Nasional (MN) minggu hadapan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata beliau ketika ini tidak dimaklumkan mengenai penangguhan itu malah tiada rundingan dibuat antara kedua-dua parti berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, beliau hanya mengetahui mengenai perkara itu menerusi laporan media yang kenyataanya dikeluarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya tidak tahu ada cadangan menangguhkan rundingan pembahagian kerusi tetapi saya akan minta daripada Pengerusi Induk MN yang dipengerusikan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sama ada kenyataan (Abdul Hadi) itu betul ataupun tidak.

“Jadi, keputusannya akan kita tahu selepas berhubung nanti yang kita jadualkan untuk bermesyuarat lagi minggu hadapan,” katanya ketika ditemui pada penutup Bangkit 15 di sini, hari ini.

Menurut Mohamad, setakat ini hubungan UMNO dan PAS masih baik dan menerusi beberapa mesyuarat bersama Tuan Ibrahim sebelum ini, kedua-dua parti bersetuju dalam dua formula pembahagian kerusi PRU15.

“Kita sebenarnya mempunyai lima formula, (formula) yang pertama kami sudah setuju, manakala keputusan yang kedua pula kita sedang perhalusi bersama,” katanya.

Semalam, Abd Hadi dilaporkan berkata, PAS mengambil pendirian untuk tidak menerima sebarang bentuk kerjasama bersama UMNO sekiranya benar parti itu mewujudkan jajaran politik baharu.

Sementara itu, Mohamad berkata, UMNO masih belum membuat keputusan mengenai pemilihan parti yang sepatutnya diadakan pada Jun ini.

Katanya, bagaimanapun, Perlembagaan parti membenarkan pemilihan pucuk kepemimpinan UMNO ditangguhkan sehingga 18 bulan.

“Jika ditakdirkan berlaku PRU-15 tahun ini, maka kita tangguhkan dulu pemilihan parti dan menumpukan kepada kemenangan parti pada pilihan raya, namun penangguhan selama 18 bulan adalah dibenarkan perlembagaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

443
Kongsi :
Previous post Fokus capai 250,000 penerima vaksin fasa kedua
Next post Pulau Besar, Jalan Harmoni di Jonker Street jadi subsektor pelancongan agama
Ubah saiz-+=