MUFC ‘mengamuk’ di Shah Alam

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) menghapuskan badi dua kekalahan berturut-turut apabila menewaskan Kelab Bolasepak Universiti Teknologi Mara (UiTM FC) 3-0 malam ini.

Dalam aksi di Stadium UiTM Shah Alam itu, pengendali MUFC, Zainal Abidin Hassan melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utamanya dalam usaha mengutip tiga mata penuh untuk keluar dari zon penyingkiran Liga Super musim 2021.

Percaturan itu berhasil apabila skuad Hang Tuah berjaya mendominasi perlawanan sebaik aksi bermula.

Peluang pertama MUFC selaku pasukan pelawat terhasil pada minit ke-19 menerusi pemain sayap, S Kumaahran yang melakukan rembatan jarak jauh tepat ke arah gol.

Namun, percubaannya itu berjaya dihidu penjaga gol import UiTM FC Dominic Picak yang terpaksa melakukan aksi penyelamatan akrobatik di udara.

Picak sekali lagi menyelamatkan gawang tuan rumah pada minit ke-33, apabila sempat menepis bola sepakan percuma yang diambil Sony Norde yang terbias pemain pertahan UiTM FC.

Dua minit selepas itu, giliran Stefan Nikolic menguji gawang tuan rumah apabila berjaya melakukan tandukan ke arah gol hasil hantaran Kumaahran, namun, ia sekali lagi berjaya diselamatkan Picak.

Gol yang dicari-cari MUFC akhirnya muncul pada minit ke-36 menerusi Sony Norde yang mencuri peluang dalam situasi kucar-kacir di hadapan gol.

Dia yang tidak dikawal pertahanan lawan, menerima bola umpanan Mohd Faris Shah sebelum melakukan sepakan lencong untuk membuka tirai jaringan sekali gus memberikan kelebihan satu gol buat pelawat pada separuh masa pertama.

Bersambung di babak kedua, MUFC dilihat terus menggandakan asakan bagi memburu gol kedua.

Asakan bertali arus yang dijelmakan skuad Hang Tuah akhirnya berjaya menemui sasaran apabila Nikolic menjaring gol kedua pasukan menerusi tandukan selepas menerima hantaran daripada sepakan percuma yang diambil Kumaahran pada minit ke-60.

Lima minit selepas itu, giliran Kumaahran menambah duka tuan rumah dengan menjaringkan gol ketiga MUFC selepas merembat deras dalam situasi tegang di hadapan pintu gol UiTM FC.

Selepas itu, beberapa lagi percubaan berjaya diperoleh pelawat untuk menambah jaringan, namun keputusan tiga gol tanpa balas kekal selepas pengadil perlawanan Mohd Nafeez Abd Wahab meniupkan wisel penamat.

Hasil kemenangan itu, skuad Hang Tuah kini mengutip tujuh mata daripada lapan perlawanan selepas mencatat dua kemenangan, empat seri dan dua kali tewas (selepas dipotong tiga mata)

Manakala, UiTM FC kekal di tangga tercorot liga dengan satu mata, tanpa sebarang kemenangan musim ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

643
Kongsi :
Previous post Ketua Menteri serikan Selawat Ihya’ Ramadhan 2021
Next post Melaka perkenal subsektor pelancongan agama
Ubah saiz-+=