Burung botak siput bebas penyakit
AYER KEROH 8 April. – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka mengesahkan kehadiran burung hijrah dikenali burung botak siput atau Asian Openbill di negeri ini tidak memberi ancaman kepada spesies burung tempatan selain tidak membawa penyakit.
Pengarahnya Mohd Firrdhaus Mahmood berkata, kehadiran burung hijrah ke negara ini dipantau rapi PERHILITAN dengan kerjasama Jabatan Veterinar sekali gus membolehkan pengesanan awal jika ada sebarang risiko termasuk ancaman penyakit.
“Burung hijrah itu tidak membawa penyakit selain tidak memberikan ancaman kepada burung tempatan.
“Jabatan PERHILITAN dengan kerjasama Jabatan Veterinar turut menjalankan persampelan penyakit ke atas burung hijrah yang singgah di negara ini dalam memastikan burung-burung ini tidak membawa sebarang penyakit,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).
Mohd Firrdhaus berkata, faktor utama yang menjadi tarikan kepada burung itu untuk singgah di Melaka adalah kawasan sawah padi dan paya yang terdapat di negeri ini yang merupakan habitat burung ini.
Katanya, sumber makanan turut menjadi daya tarikan kepada burung botak siput dan sesuai dengan nama yang diberi, diet utamanya adalah siput, udang kecil, ikan dan serangga yang terdapat di sawah padi dan kawasan berpaya.
“Burung ini tidak sama dengan burung bangau tetapi mempunyai persamaan sedikit dengan burung botak upeh (spesies tempatan) terutamanya dari segi ciri fizikal, diet dan habitat kerana ia dari keluarga yang sama,” katanya menambah menjadi rutin tahunan burung itu singgah di negeri ini.
Mengulas lanjut, Mohd Firrdhaus berkata, burung botak siput yang menjadikan Malaysia sebagai persinggahan apabila tiba musim hijrah turut boleh ditemui di Bangladesh, India, Kemboja, Myanmar, Nepal, Pakistan, Sri lanka, Thailand dan Vietnam.
“Burung ini tidak membawa ancaman kepada manusia mahu pun burung tempatan. Kehadirannya turut membawa kebaikan kepada pesawah kerana burung ini memakan siput gondang emas (SGS) yang menjadi perosak kepada padi.
“Dalam erti kata lain burung ini membantu pesawah dalam mengurangkan populasi SGS di sawah milik mereka sekali gus dapat mengurangkan penggunaan racun kimia,” katanya.
Beliau berkata, PERHILITAN menasihati orang ramai untuk tidak mengganggu atau memburu spesies ini burung hijrah itu kerana ia spesies dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 [akta 716].
Terdahulu, tinjauan MHI di kawasan sawah di Kampung Bukit Piatu, dekat sini, mendapati ia ‘diserang’ kumpulan burung hijrah itu buat pertama kali sejak minggu lalu, malah difahamkan spesies ini turut dilihat berlegar-legar di udara di beberapa kawasan lain.
Kawasan berkenaan kini turut menjadi tumpuan orang ramai untuk melihat sendiri keunikan kumpulan burung botak siput atau nama saintifiknya, Anastomus oscitans.
Penduduk, Norosliana Rosli, 34, berkata penduduk pada mulanya menyangka kumpulan burung yang terbang itu burung helang.
“Bagaimanapun, sebaik kumpulan burung itu turun ke sawah ia kelihatan seperti bangau tetapi lebih besar, selain mempunyai kaki dan paruh lebih panjang.
“Saya difahamkan burung ini juga dapat dilihat sekitar kawasan sawah di Bukit Rambai,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Piatu di sini, hari ini.
Katanya, pada sebelah siang, burung itu dapat dilihat berada di kawasan berair dan parit untuk mencari makanan, selain hinggap di pencawang elektrik berhampiran rumah penduduk.
“Apa yang saya nampak burung ini tidak ganas dan tidak juga mengganggu penduduk,” katanya yang tidak pasti berapa lama haiwan itu akan berada di kawasan itu.
Penduduk lain, Samad Hassan, 69, berkata dia pelik kerana sebelum ini burung bangau putih sahaja kelihatan di kawasan sawah berkenaan.
“Mungkin burung bangau berasa takut kerana saiz burung hijrah agak besar dan mempunyai paruh yang panjang selain berada dalam kumpulan yang besar,” katanya.
“Mungkin spesies burung bangau dan pelbagai spesies burung lain akan mula pulang selepas mencari makan pada lewat petang bermula jam 6.30 petang, namun pergerakan pulang mereka mengikut keadaan cuaca,” katanya.
tamat-
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.