Sulaiman terima pangkat Brigedier Jeneral Kehormat
KUALA LUMPUR 6 April. – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali hari ini menerima pentauliahan di dalam Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah dengan pangkat Brigedier Jeneral (Kehormat) dalam satu majlis di Penthouse, Wisma Perwira, ATM, Kementerian Pertahanan di sini.
Pentauliahan itu diberikan selepas beliau dilantik sebagai Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Melaka.
Majlis Pemakaian Pangkat Askar Wataniah itu disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz serta  Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang.
“Alhamdulillah, hari yang cukup bersejarah buat diri saya apabila ditauliahkan di dalam Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah dengan pangkat Brigedier Jeneral (Kehormat) iaitu sebagai Penaung JAKPAW,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya.
Selain Sulaiman, empat lagi Ahli JAKPAW turut dianugerahkan pangkat kehormat iaitu Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilantik sebagai Pegawai Kehormat Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM), Jawatankuasa Pendukung PSSTLDM Zon Barat; Muhammad Sanusi Md Nor (Penaung Jawatankuasa Pendukung Angkatan Sukarelawan (JAKPAS) Negeri Kedah); Mastura Ahmad Mustafa (Ahli JAKPAW KEMENTAH) dan Ahmad Nazri Mohd Hassan (Ahli JAKPAS KEMENTAH).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.