JAIM kenal pasti ‘port’ ponteng puasa
BUKIT BARU 6 April. – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengenal pasti beberapa ‘kawasan panas’ dipercayai menjadi tumpuan segelintir masyarakat Islam makan atau minum secara terbuka di siang hari pada Ramadan.
Pengarahnya Datuk Md Azhan Samat sehubungan itu pihaknya menasihatkan kepada penjual makanan di negeri ini untuk mematuhi peraturan kerajaan negeri dari semasa ke semasa dan menghormati kedatangan bulan suci itu bagi mengelak tindakan.
Katanya, bagi memastikan orang ramai termasuk penjual dan pembeli terus menghormati Ramadan, penguat kuasa JAIM akan menjalankan pemantauan di beberapa lokasi dikenal pasti itu.
“Ketika Ramadan sudah tentu kita tidak boleh menjual makanan awal, jadi juallah makanan pada waktu sesuai, biasanya orang hendak berbuka puasa, peniaga makanan tidak jual jam 11 pagi sebaliknya jam 3 ke atas.
“Kami akan memantau dari satu lokasi ke satu lokasi dan biasanya kita memeriksa kira-kira 10 kawasan tumpuan yang telah dikenal pasti.
“Insya-Allah kita akan teruskan pemantauan setiap hari sepanjang Ramadan,” katanya ketika ditemui di pejabat Jabatan Mufti Negeri di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau turut meminta orang ramai bekerjasama dengan agensi agama Islam bagi menyalurkan maklumat sekiranya berlaku ketidakpatuhan premis makanan yang menawarkan penjualan makanan kepada umat Islam secara terbuka pada waktu siang.
“Masyarakat sendiri perlu menjadi ‘mata’ kepada agensi penguatkuasaan agama Islam bagi melaporkan sebarang maklumat berkaitan untuk memudahkan JAIM memantau premis makanan terbabit.
“Ia mudah sahaja…umat Islam yang makan di khalayak ramai dan peniaga menawarkan hidangan makanan secara terbuka, ia adalah satu kesalahan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.