Sorting by

×

KPDNHEP pantau peniaga ‘cekik darah’ di bazar Ramadan

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 2 Apr – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menguatkuasakan pemantauan di bazar Ramadan seluruh negara bagi memastikan tidak timbul masalah kenaikan harga barangan dan makanan pada tahun ini.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, tindakan itu dilakukan untuk mengelakkan sebarang bentuk penganiayaan kepada pengguna terutama apabila negara acap kali digemparkan penularan berita segelintir peniaga meletakkan harga melampau untuk juadah berbuka puasa.

“Sememangnya kita akan menguatkuasakan lagi pemantauan di pasar-pasar Ramadan terutama untuk memastikan rakyat tidak dianiaya dengan harga makanan atau barangan yang tinggi terutama sepanjang musim COVID-19 ini.

“Sekiranya ada sebarang bentuk penganiayaan berhubung kenaikan harga, orang ramai boleh melaporkan kepada KPDNHEP termasuk dengan mengemukakan bukti pembelian,” katanya ketika ditemui dalam lawatan ke kilang pembuatan makanan industri kecil dan sederhana (IKS) di sini, hari ini.

Selain pemantauan di bazar Ramadan, beliau memaklumkan pihaknya juga akan melaksanakan skim harga maksimum sempena Hari Raya Aidilfitri yang dijangka akan diumumkan seminggu atau dua minggu lebih awal sebelum perayaan.

Katanya, menerusi skim diadakan secara berkala itu pihaknya akan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang yang sentiasa menjadi keperluan setiap kali tiba perayaan.

“Antara yang akan kita beri penekanan menerusi skim itu nanti termasuklah harga ayam, daging, ikan dan barangan keperluan asas yang lain,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

369
Kongsi :
Previous post Cadang JPJ Melaka tambah baik perkhidmatan kaunter – Ka Siong
Next post Penantian 14 tahun berakhir, 642 peserta RTK terima geran hak milik
Ubah saiz-+=