Sarung uniform sekolah demi anak
BUKIT BARU 31 Mac – Seorang ibu sanggup memakai seragam sekolah anak perempuannya dan hadir ke sekolah bagi mengabadikan detik istimewa itu pada hari terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, baru-baru ini.
Tindakan itu semata-mata bagi menzahirkan sokongan buat anak perempuan tunggalnya, Nurul Batrisyia Mohd Nizar yang menduduki SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru.
Rohana Ibrahim, 47, berkata, ia satu pengalaman unik apabila dapat memakai uniform sekolah dan hadir bersama anaknya ke sekolah tersebut.
“Sebagai ibu ini tanda sokongan yang tidak pernah putus terhadap anak, alhamdulilah penantian dia (anak) untuk menghabiskan peperiksaan SPM sempurna juga.
“Pengalaman saya sebagai guru kira-kira 14 tahun di Melaka dapat merasakan bagaimana simboliknya baju seragam sekolah kepada pelajar,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).
Katanya, bagi sesetengah ibu bapa pakaian sekolah amatlah bernilai dan ia perlu dihargai oleh semua masyarakat.
“Justeru, saya abadikan kenangan dengan memakai baju sekolah sebagai sokongan dan bukti indahnya alam persekolahan ini.
“Semoga usaha dan sokongan ibu bapa atau penjaga dapat memberi nilai kasih sayang terhadap anak-anak dengan lebih mendalam lagi,” katanya yang menduduki SPM pada 1991.
Untuk rekod peperiksaan SPM 2020 berakhir pada 25 Mac lalu selepas tertangguh sejak tahun lalu akibat pandemik COVID-19.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.