Khemah, baju raya rosak diterbangkan ribut
KLEBANG 31 Mac – “Keadaan berlaku begitu pantas. Tiba-tiba sahaja kami terdengar jeritan diselangi tangisan wanita dan apabila tiba sahaja, saya lihat khemah saya habis musnah.
Demikian detik cemas dikongsikan peniaga Uptown Jebat Street, Klebang, Muhamad Syahir Abd Rahman, 32, mengenai ribut yang memusnahkan enam khemah, termasuk miliknya di situ.
Peniaga pakaian kanak-kanak dan dewasa itu berkata, dia tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan barang jualannya menyebabkannya mengalami kerugian dalam anggaran RM10,000.
“Kebanyakan baju ini baru sahaja saya bawa masuk untuk dijual sempena kedatangan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri nanti. Namun, kebanyakannya habis rosak dan ada yang diterbangkan ribut.
“Walaupun kejadian berlaku sekejap, namun tiada siapa dapat menyelamatkan barang-barang perniagaan kerana mahu menyelamatkan diri pada waktu itu,” katanya ditemui Melaka Hari Ini.
Seorang saksi, Irwan Khamis, 37, berkata, kejadian ribut itu berlaku kira-kira 10.15 malam dan ketika itu dia bersama bapa mentua sedang menjala udang di pantai berkenaan.
Katanya, akibat ribut yang datang secara tiba-tiba, mereka bergegas menyelamatkan diri dan ketika itulah dia melihat khemah dan barang-barang niaga di kawasan itu diterbangkan angin dan berteraburan di atas jalan.
“Tempat itu terus ‘blackout’ secara tiba-tiba dan saya terdengar jeritan serta melihat ada antara peniaga memegang khemah masing-masing untuk mengelakkan daripada diterbangkan angin.
“Situasi memang huru-hara ketika itu, namun mujurlah ia tidak berlarutan begitu lama,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan tengah malam tadi dan terus menuju ke lokasi.
Jelasnya, terdapat enam khemah musnah dalam kejadian itu dan pihaknya akan segera memanjangkan perkara berkenaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin untuk membantu peniaga yang terbabit.
“Kita di pihak kerajaan negeri akan cuba membantu peniaga terjejas akibat kejadian itu. Difahamkan ada peniaga yang mengalami kerugian ribuan ringgit apabila barang-barang jualan mereka seperti pakaian, permainan kanak-kanak dan aksesori musnah dalam kejadian itu.
“Saya juga akan mengarahkan penganjur Uptown berkenaan agar segera mendirikan khemah baharu untuk membolehkan peniaga kembali berniaga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.