Apa hal beberapa menteri dari UMNO jumpa Muhyiddin?
PUTRAJAYA 29 Mac – Beberapa menteri daripada UMNO mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bangunan Perdana Putra di sini petang tadi.
Pertemuan itu difahamkan bermula pada 5.30 petang dan berlangsung lebih sejam.
Kenderaan yang membawa menteri terbabit dilihat mula keluar meninggalkan pekarangan kompleks Pejabat Perdana Menteri pada 6.45 petang.
Antara menteri yang dilihat keluar dari bangunan itu ialah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera serta Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang merupakan Ahli Parlimen Lenggong.
Kenderaan membawa Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba yang juga Ahli Parlimen Tenggara turut dilihat meninggalkan kawasan itu.
Usaha media yang menunggu di pintu masuk kompleks Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan butiran pertemuan itu tidak membuahkan hasil selepas semua menteri berkenaan tidak memberhentikan kenderaan masing-masing untuk bercakap dengan pemberita.
Semalam, Perhimpunan Agung UMNO 2020 di ibu negara mengambil ketetapan untuk memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usul memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu yang menerajui kerajaan Perikatan Nasional itu dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan parti yang menghadiri perhimpunan itu.
Perhimpunan tahunan itu turut meluluskan usul ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) seramai 42 orang tidak akan bersama kerajaan PN apabila Parlimen dibubarkan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.