Pegawai Jabatan Perikanan mengaku tidak bersalah lulus tender kepada syarikat air adik ipar

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KOTA BHARU 29 Mac – Seorang pegawai Jabatan Perikanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan salah guna kuasa dengan meluluskan tender bernilai RM71,694 kepada sebuah syarikat milik adik iparnya, pada Mei 2019.

Mohd Rafi Hassan, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan jawatan sebagai Ketua Cawangan Akuakultur di Pejabat Perikanan Kelantan bagi mendapatkan suapan apabila meluluskan tender membekal dan menghantar tangki akuakultur.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perikanan Kelantan, dekat sini pada 12 Mei 2019 dan tender tersebut diluluskan kepada pemilik YY Indah Enterprise, Yusneffa Yahya yang juga adik ipar tertuduh dengan nilai pembekalan sejumlah RM71,694.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hamizah Ghazali manakala Mohd Rafi diwakili peguam, Cheah Poh Loon.

Nor Hamizah memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan kepada tertuduh supaya menyerahkan pasport serta melaporkan diri di pejabat SPRM.

Cheah pula memohon jaminan minimum dikenakan memandangkan anak guamnya masih bertugas sebagai pegawai Jabatan Perikanan di Putrajaya dan tiada sebab untuk tertuduh tidak memberi kerjasama kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport serta melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat, setiap awal bulan.

Mahkamah menetapkan 18 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

381
Kongsi :
Previous post 26 April sebutan semula kes dera dan bunuh adik Amir
Next post Pentadbir universiti arkitek bentuk acuan universiti
Ubah saiz-+=