Air bah jadi ‘pelanggan’ pertama
BANDARAYA MELAKA 29 Mac – “Tak sampai satu jam pun hujan, banjir sudah naik ke paras 0.6 meter di hadapan kedai sebelum air mula memasuki premis 10 minit kemudian menyebabkan perniagaan tidak dapat beroperasi seperti biasa,”.
Itu pengalaman diceritakan pekerja kedai percetakan Koh Seow Hong, 38 yang menjadi antara puluhan perniaga yang terjejas akibat banjir kilat melanda beberapa kawasan di daerah Melaka Tengah awal pagi tadi.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 7.55 pagi tadi selepas hujan lebat selama hampir satu jam melanda premisnya di Jalan Ong Kim Wee, di sini.
“Waktu itu, saya dan seorang lagi pekerja baru tiba untuk membuka kedai kira-kira jam 7.55 pagi dan ketika itu keadaan masih hujan menyebabkan jalan raya di hadapan kedai banjir sedalam hampir dua kaki (0.6 meter)
“Selepas itu, tak sampai 10 minit, tiba-tiba air mulai melimpah masuk ke dalam kedai sehingga paras satu kaki (0.3 meter) menyebabkan kami terpaksa memindahkan semua barang ke atas rak yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di sini hari ini.
Menurut Seow Hong, kejadian banjir itu turut menyebabkan kira-kira 30 lagi peniaga di Jalan Ong Kim Wee tidak dapat meneruskan perniagaan seperti biasa dan terpaksa menanggung kerugian akibat tiada pelanggan.
“Walaupun ini bukanlah kejadian banjir kilat pertama sejak berniaga di sini 40 tahun lalu, namun kali ini adalah yang terburuk dalam tahun ini.
“Saya harap pihak berwajib memandang serius perkara ini supaya ia tidak menjadi bertambah buruk terutamanya ketika rakyat baharu sahaja berusaha untuk memulihkan ekonomi akibat pandemik COVID-19, ” katanya.
Sementara itu, tinjauan Melaka Hari Ini mendapati kawasan paling teruk terjejas adalah di persimpangan lampu isyarat Cheng yang menyaksikan ada kereta yang turut tenggelam.
Kawasan lain di berhampiran pusat bandar yang terjejas adalah di Batu Berendam, Jalan Hang Tuah, Jalan Kee Ann, Kampung Jawa dan Jalan Bendahara.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri dalam pada itu dalam satu kenyataan bencana banjir banjir kilat kerap yang kerap berlaku di beberapa kawasan rendah di negeri ini berpunca daripada jumlah air yang banyak akibat hujan lebat.
“Punca lain juga adalah disebabkan sistem perparitan yang tersumbat dengan sampah sarap, namun kita bersyukur kerana kebiasaannya air banjir akan cepat surut,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.