Keindahan pohon tekoma Taman Bandar Baru Utama jadi tumpuan
LENDU 29 Mac – Keindahan bunga dihasilkan deretan pokok tekoma berwarna merah jambu dan putih di Taman Bandar Baru Utama, di sini menjadi tumpuan penduduk sekitar daerah ini.
Sejak Sabtu, lokasi berhampiran Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin itu dikunjungi ramai penggemar pemandangan indah yang dihasilkan bunga berkenaan.
Bagi Nazri Bahari, 49, keindahan pemandangan itu seolah-olah membawanya ke Jepun yang terkenal dengan keindahan pohon sakura yang mengeluarkan daun yang hampir sama keindahannya.
“Tak dapat ke Jepun tak mengapa, asalkan dapat menikmati pemandangan indah seperti pokok sakura di sini.
“Walaupun tidak seratus peratus sama seperti pokok sakura negara matahari terbit, sekurang-kurangnya pemandangan di sini agak sama seperti yang ada di Jepun,” katanya.
Beliau dan isteri, Siti Suhaila Sufian, 47, dan anak, Nur Kasih Erina, 13, mengambil kesempatan merakam saat indah berada di bawah pohon bunga tekoma yang didominasi warna merah jambu dan putih di Taman Bandar Baru Utama, di sini.
Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan, Alor Gajah itu berkata, peluang menyaksikan keindahan pokok berkenaan seolah-olah membawa fikiran dan tubuhnya ke Jepun yang terkenal dengan keindahan pokok sakura.
“Insya-Allah satu hari nanti saya akan ke sana (Jepun) bersama isteri dan anak tetapi buat masa ini, biarlah keindahan di sini kami abadikan sebagai ganti keindahan yang di Jepun,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan.
Sejak beberapa hari lalu, deretan pokok yang nama saintifiknya ‘Tecoma stans’ daripada keluarga Bignoniaceae yang berasal dari benua Amerika mengeluarkan bunga merah jambu dan putih, sekali gus mengindahkan pemandangan di lokasi berkenaan.
Ia menarik kehadiran ramai penduduk Masjid Tanah dan sekitarnya untuk merakamkan keindahan bunga yang bukan setakat menghiasi pokok, malah yang gugur memenuhi rumput.
Mohd Qalus Nazri, 37, berkata beliau dan isteri Normaisara Mustafa, 37 serta empat anak mengambil kesempatan itu untuk merakamkan pemandangan indah di lokasi itu.
“Kami datang dari Tanjung Kling untuk ke rumah mentua saya di Kampung Jeram, di sini tetapi sebaik saja melintas kawasan ini, kami amat teruja menyaksikan keindahan pokok ini.
“Anak kami amat ceria mengutip daun merah jambu dan putih sebelum melayangkannya ke udara seolah-olah musim bunga di Jepun, ada di negara kita,” katanya.
Rohana Abdul Majid, 45, berkata pokok berkenaan lazimnya mengeluarkan bunga berwarna merah jambu dan putih ketika musim kering.
“Pada musim kering antara Januari hingga Mac setiap tahun, bunga pokok di kawasan ini berwarna merah jambu dan putih, sekali gus mengundang orang ramai bergambar di sini,” katanya.
Bunga seumpama itu dijangka semakin berkurangan apabila musim hujan dijangka bermula berikutan Monsun Barat Daya yang lazimnya bertiup antara April hingga Jun, katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.