BN putus bertanding sendirian pada PRU15- Ahmad Zahid

Masa Membaca:3 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR 28 Mac – Barisan Nasional (BN), parti gabungan yang ditunjangi UMNO, memutuskan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) secara bersendirian, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, parti terbesar orang Melayu itu turut memutuskan untuk mengekalkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) supaya tiada sebarang kerjasama membabitkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

“Kita tetap dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (UMNO)… no Anwar, no DAP, no Bersatu. Tidak ada perbincangan dengan mana-mana parti itu sama ada secara rasmi atau tidak rasmi. Kita tetap akan bertanding menggunakan panji-panji Barisan Nasional,” katanya.

Menyampaikan ucapan dasar presiden bertajuk ‘Kestabilan UMNO Kesejahteraan Malaysia’ pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), yang turut diadakan secara maya di 190 Bahagian Umno di seluruh negara hari ini.

Perhimpunan tahunan dua hari yang dihadiri kira-kira 2,600 perwakilan itu bermula dengan perhimpunan agung sayap parti – Wanita, Pemuda, Puteri – semalam, dalam suasana norma baharu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah wabak COVID-19.

Perasmian perhimpunan UMNO itu dihadiri Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup, Presiden serta wakil sekutu dalam Muafakat Nasional iaitu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta wakil ‘Friends of BN’.

Dalam ucapan yang berterus terang, Ahmad Zahid berkata UMNO perlu bangkit dan menjadi dominan semula dengan memenangi lebih banyak kerusi pada PRU15 untuk membolehkannya kembali memimpin kerajaan .

Mengingatkan semua anggota parti mengenai ‘reset’ politik yang telah berlaku dan sedang berlaku, Presiden UMNO itu berkata BN selepas itu akan menentukan parti mana yang benar-benar ikhlas dan jujur untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Katanya biarpun tanpa perundingan dengan mana-mana pihak, UMNO terbuka untuk mewujudkan ‘kerajaan perpaduan’ demi kestabilan politik negara dan keharmonian seperti yang diimpikan rakyat.

“UMNO sangat terbuka untuk melakukannya selepas PRU15 nanti, namun terlebih dahulu UMNO wajib terus direlevankan dan mendominasi politik tanah air. Justeru, kita perlu dominan, baharulah kita relevan,” katanya.

Ahmad Zahid mengulangi bahawa sokongan Ahli Parlimen UMNO dan BN terhadap pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan adalah secara “en bloc” (keseluruhan) dan ada tempoh jeda waktunya.

Menyentuh kerjasama politik Muafakat Nasional (MN) bersama PAS, Ahmad Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata UMNO sebagai rakan kongsi politik akan terus jujur untuk menterjemah piagam dan perjanjian persefahaman yang dimeterai kedua-dua parti berkenaan pada September 2019.

“Piagam Muafakat Nasional yang termeterai belum sampai ke penghujungnya. Namun, belum terlambat untuk kita kembali ke pangkal jalan. Kaki kita mesti berpijak di tapak yang sama. Tapak yang berbeza tidak menjanjikan sebarang keberuntungan apatah lagi, pertambahan kerusi,” katanya.

Beliau berkata permuafakatan itu yang terbukti dalam tujuh pilihan raya kecil selepas PRU14 telah mendapat sokongan padu dan diyakini ia akan membuka ruang kepada BN untuk kembali menerajui negara.

Ketika ini Ahmad Zahid berkata UMNO, yang diasak dari luar dan dalam parti, menuntut semua ahlinya untuk bersatu padu kerana ia merupakan asas kepada keteguhan organisasi UMNO

“Kita amat bimbang jika kita terlalu meraikan perbezaan pendapat sehingga membuka ruang perpecahan dalam kalangan ahli-ahli UMNO, dan lebih parah lagi sekiranya setiap pemilik idea berkembang menjadi kabilah-kabilah yang akhirnya memecah-belahkan parti,” katanya.

Presiden UMNO itu berkata parti itu membawa suara rakyat dan konsisten memainkan peranan semak dan imbang, khususnya ketika rakyat terbeban serta berhadapan dengan kesan pandemik COVID-19.

“UMNO secara tradisinya adalah tempat rakat mengadu. ‘UMNO is for the rakyat to seek solace’. Inilah DNA UMNO,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

323
Kongsi :
Previous post Kem latihan skuad Harimau Malaya dipendekkan
Next post Sanggup tidur depan kedai untuk beli kasut sukan
Ubah saiz-+=