Bekas pekerja syarikat telekomunikasi mengaku bersalah terima suapan RM15,000

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KUALA LUMPUR 26 Mac. – Seorang bekas pekerja di sebuah syarikat telekomunikasi mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas lima pertuduhan gagal melaporkan suapan berjumlah RM15,000 yang diberikan kepadanya, kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

K. Theva Kumar, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Bagi kelima-lima pertuduhan itu, Theva Kumar didakwa telah diberikan suapan wang tunai berjumlah RM15,000 daripada wakil syarikat Elite Entertainment Sdn Bhd, melalui akaun bank milik isterinya S. Caroline Josephine, kerana memberikan bilangan aduan pelanggan sebuah syarikat telekomunikasi kepada syarikat Elite Entertainment.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu yang melanggar peruntukan Akta SPRM 2009 untuk melaporkan kesalahan pemberian wang itu, di HSBC Amanah cawangan Wangsa Maju antara 5 Mei dan 1 September 2016, mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) akta sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau dipenjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah bagi lima pertuduhan menerima suapan daripada seorang individu, iaitu wang berjumlah RM7,500 melalui permindahan daripada akaun Standard Chartered Bank Berhad milik Lonnex Sdn Bhd ke akaun HSBC Band Berhad milik individu sama (Caroline) sebagai upah bagi memberikan bilangan aduan pelanggan yang dikawal selia oleh sebuah syarikat telekomunikasi kepada individu tersebut, di HSBC bank cawangan Wangsa Maju antara 5 Februari dan 4 Oktober 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan, dengan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM berdekatan sebulan sekali.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 April ini untuk rayuan, jatuh hukum dan sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk M. Gobinath.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

438
Kongsi :
Previous post Produk mengandungi steroid anabolik bernilai lebih RM1 juta dirampas
Next post Vaksin COVID-19 AstraZeneca tidak mengandungi produk berasal dari haiwan
Ubah saiz-+=