FAMA sasar RM500,000 menerusi penganjuran MAM 2021
MELAKA 26 Mac. – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka menyasarkan nilai kutipan berjumlah RM500,000 menerusi program Melaka Agro Market (MAM) yang akan berlangsung sepanjang tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, program MAM adalah platform untuk usahawan muda memasarkan produk dan diadakan bagi membantu mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
Beliau berkata, program itu adalah antara inisiatif FAMA Melaka dengan sokongan penuh kerajaan negeri dalam membantu usahawan mudah tempatan melalui Pelan Melakaku Maju Jaya 2035 – Flagship 5: Melaka Negeri Usahawan.
“Pada tahun ini kita menyasarkan 12 lokasi terpilih di tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin bagi menjayakan program MAM dengan jumlah penganjuran sebanyak 30 kali.
“Sepanjang program ini berlangsung seramai 200 usahawan muda akan terbabit dan sasaran nilai kutipan berjumlah RM500,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan Walkabout ke Program @Fiesta Melaka Agro Market di Kompleks Japerun Pengkalan Batu, Bachang, di sini.
Menurut beliau, jumlah lokasi dan penganjuran akan bertambah sekiranya ia mendapat sambutan di luar jangkaan, baik daripada kumpulan usahawan mahupun penduduk setempat.
“Tujuan utama program ini untuk membantu rakyat tempatan dalam aspek pengurangan kos sara hidup dan memberi peluang kepada usahawan muda meningkatkan kembali pendapatan mereka.
“Selain itu program ini secara tidak langsung membantu kerajaan memastikan bekalan hasil pertanian sentiasa mencukupi untuk keperluan pengguna sekali gus dapat mengatasi isu lambakan pemasaran hasil pertanian petani, penternak serta nelayan,” katanya.
Mengulas lanjut Norhizam berkata, FAMA Melaka turut merancakkan ekonomi dan pendapatan usahawan melalui outlet pemasaran FAMA sedia ada serta tambahan beberapa outlet baharu.
“Outlet tambahan pada tahun ini adalah dua Pasar Tani, Melaka Agro Market (7), Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) (1), Agrobazaar Rakyat (1), Gerai Buah- Buahan Segar (1), Agrobazaar K-Shoppe (2) dan Medan Food Truck (3) serta Jualan Terus dari Ladang (Pasaraya) (3).
“Dalam norma baharu ini sudah pastinya penganjuran program pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menjadi keutamaan dan kita turut mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.