Curi elektrik demi Bitcoin, TNB rugi RM9 juta

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 26 Mac – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menanggung kerugian kira-kira RM9 juta akibat kegiatan sindiket mencuri dan melakukan penyambungan elektrik haram bagi perlombongan Bitcoin di negeri ini.

Kegiatan jenayah itu terbongkar hasil risikan dan serbuan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di dua lokasi iaitu di negeri ini dan di Selangor, masing-masing pada 16 dan 17 Mac lalu membawa kepada penangkapan enam suspek.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, serbuan pertama dibuat sekitar 12 tengah hari di sebuah premis di Taman Sungai Petai Bahagia dan menahan empat lelaki termasuk seorang warganegara Indonesia.

ABDUL MAJID (kanan) dan Mohd Shukri menunjukkan gambar individu yang dikehendaki pihaknya bagi membantu siasatan mencuri arus elekrik untuk melombong Bitcoin. Gambar Siti Salehah

“Ketika serbuan semua suspek didapati sedang memunggah mesin Bitcoin ke dalam sebuah kenderaan daripada premis yang disyaki melakukan penyambungan bekalan elektrik secara haram.

“Susulan tangkapan itu beberapa siri serbuan dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Negeri bersama TNB ke lima lagi premis di sekitar Alor Gajah, Jasin dan Melaka Tengah dan merampas 317 mesin melombong Bitcoin dianggarkan berjumlah RM95,100,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua JSJN Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman.

Abdul Majid berkata, tangkapan susulan pula dibuat antara jam 1.30 pagi hingga 3.30 pagi pada 17 Mac membabitkan seorang wanita dan lelaki yang juga pasangan adik beradik di Puchong.

Katanya, suspek berusia 29 hingga 39 tahun itu dipercayai aktif sejak Februari 2019 menjalankan aktiviti perlombongan Bitcoin di premis yang jauh daripada orang ramai bagi mengelakkan dikesan mencuri bekalan elektrik yang tinggi.

“Semua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai terbabit dengan penyambungan haram bekalan elektrik untuk aktiviti perlombongan Bitcoin di sekitar negeri ini.

“Kumpulan ini juga kita dapati ada yang bertindak sebagai pengurus serta akauntan dan kita percaya suspek wanita berusia 29 tahun itu adalah akauntan.

“Secara keseluruhan operasi ini berjaya melumpuhkan satu sindiket mencuri arus elektrik dan mereka ini dipercayai menggunakan 18 premis pada awalnya.

“Bagaimanapun susulan risikan dan tindakan tegas polis bersama TNB, sindiket bertindak mengurang serta menutup operasi sehingga hanya enam sahaja yang beroperasi,” katanya.

Sementara itu Abdul Majid menjelaskan, bagaimanapun seorang lagi suspek dipercayai dalang bagi kegiatan itu yang juga abang kepada pasangan adik beradik kini sedang dikesan pihak polis.

“Justeru kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu selain menasihati lelaki terbabit hadir serah diri ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1111
Kongsi :
Previous post E-sukan: Lapan judul permainan tawar 10 pingat emas Sukan SEA Hanoi
Next post Meat Cartel American BBQ Melaka Galak buka cawangan ke 18 di Melaka
Ubah saiz-+=