Pemandu lori kurier rentung: “Terdengar jeritan mangsa”

Masa Membaca:2 Minit, 24 Saat

ALOR GAJAH 26 Mac – “Saya terdengar suara pemandu lori kurier terbabit menjerit meminta tolong, namun api marak terlalu cepat.

“Beberapa pemandu lori lain yang berhenti juga cuba membantu membuka pintu untuk mengeluarkan pemandu yang tersepit namun gagal,”.

Demikian diceritakan saksi kemalangan maut membabitkan pemandu sebuah lori syarikat penghantaran yang rentung selepas lori dipandunya terbakar dalam nahas di Kilometer 221.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini awal pagi tadi.

Menurut lelaki berusia 43 tahun itu, sebelum kejadian dia yang memandu lori tangki nitrogen sedang dalam perjalanan dari arah Ipoh menuju ke Tangga Batu, Melaka.

“Bagaimanapun apabila tiba di tempat kejadian kira-kira jam 4 pagi, saya terbabit dalam kemalangan apabila merempuh sebuah treler muatan plastik yang sedang bergerak perlahan di lorong kiri.

“Mujurlah rempuhan itu tidak menyebabkan kecederaan diri, tetapi lori tangki dipandu rosak dan tidak dapat bergerak ke lorong kecemasan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian pagi tadi.

 

KEADAAN lori kurier yang terbakar sehingga menyebabkan pemandunya rentung dalam kemalangan di Kilometer 221.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini awal pagi tadi. Foto: Rizanizam Abdul Hamid

Menurutnya dia kemudian keluar dan meletakkan beberapa kon di belakang lori sebagai langkah keselamatan kepada pengguna jalan raya lain.

“Pada masa sama saya mengawal keadaan dengan memberikan isyarat menggunakan lampu suluh kepada pengguna lebuh raya kerana keadaan kawasan yang gelap.

“Tiba-tiba, pada jam 5.30 pagi, saya terlihat sebuah lori kurier terbabit dipandu laju dan terus merempuh lori tangki saya.

“Mujurlah saya sempat melompat ke tepi rumput di bahu lebuh raya, jika tidak sudah tentu saya akan menemui ajal di situ, ” katanya.

PELBAGAI sisa bungkusan terbakar sehingga menyebabkan pemandunya rentung dalam kemalangan di Kilometer 221.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini awal pagi tadi. Foto: Rizanizam Abdul Hamid

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya
berkata, nahas membabitkan tiga buah lori iaitu treler muatan bijih plastik, lori tangki nitrogen dan lori muatan bungkusan pelbagai barangan milik sebuah syarikat penghantaran yang dalam perjalanan dari arah utara ke selatan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, sebaik tiba di tempat kejadian, lori tangki berkenaan telah merempuh treler berkenaan pada jam 4 pagi menyebabkannya rosak di lorong kiri lebuh raya.

“Kemudian pada jam 5.30 pagi, berlaku kemalangan kedua apabila pemandu lori syarikat penghantaran itu yang sedang dalam perjalalanan dari arah Shah Alam ke Johor merempuh belakang lori tangki terbabit.

“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua lori terbakar menyebabkan pemandu lori syarikat penghantaran juga
tersepit dan rentung.

Mangsa maut dikenali sebagai Mohamad Syazwan Mohd Romli, 29, beralamat di Kampung Keda Telaga Batu, Sik Kedah dan mayat dibawa ke bahagian forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2609
Kongsi :
Previous post Mangsa banjir di Kuantan meningkat
Next post HDC, MISDEC jalin kerjasama perkukuh industri hala Melaka
Ubah saiz-+=