Hasil siasatan kes pukul babitkan bekas ahli politik diserah kepada TPR

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KUALA TERENGGANU 25 Mac. – Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian pukul dan khianat membabitkan seorang bekas ahli politik di Terengganu dan telah menyerahkannya kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pagi tadi untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian itu juga telah ditangkap dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Pada peringkat awal kes tersebut adalah disebabkan hutang. Pengadu (bekas ahli politik) dan suspek adalah kawan baik dan berlaku pergaduhan antara mereka.

“Kita (polis Terengganu) hanya siasat berkenaan pergaduhan sahaja manakala kes cabul yang dikaitkan dengan bekas ahli politik itu disiasat oleh pihak polis di Ampang, Selangor,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peringatan Hari Polis ke-214 Peringkat Kontinjen Negeri Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

Baru-baru ini, pihak polis mengesahkan mereka sedang menyiasat seorang ahli politik dari Pantai Timur yang didakwa mencabul isteri kenalannya ketika bermalam di rumah pasangan terbabit di Kuala Lumpur sekitar Julai atau Ogos tahun lalu.

Ekoran laporan berita kes berkenaan, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, tampil menafikan dakwaan itu dan menyatakan beliau tidak pernah bermalam di rumah pasangan tersebut.

Sebaliknya, Wan Ahmad Nizam yang juga bekas Naib Ketua UMNO Kemaman mendakwa kenalannya yang berhutang dengannya itu menumbuk beliau sebanyak dua kali serta membaling pasu bunga bertubi-tubi ke arahnya ketika mereka berbincang mengenai hutang tersebut di kediamannya di Kemaman, lebih seminggu yang lepas.

Dalam perkembangan lain, Roslee berkata pihak polis telah mengenal pasti suspek kejadian samun menggunakan senapang angin di sebuah premis taska di Hulu Terengganu pada pagi Selasa lepas.

Katanya suspek yang berumur lingkungan 40-an itu merupakan penduduk tempatan dan dipercayai penagih dadah.

Pada Selasa lalu seorang penyelia taska dan enam kakak-kanak berdepan detik cemas, apabila seorang lelaki yang bersenjatakan senapang angin memasuki premis untuk merompak dan melarikan barangan kemas, wang tunai berjumlah RM4,000, telefon bimbit dan dokumen peribadi mangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

382
Kongsi :
Previous post Peristiwa hitam ketika Op Daulat tidak patah semangat Hasnal terus berbakti
Next post Ambil kira kelestarian bumi dalam rancangan pembangunan, sosioekonomi MUHYIDDIN
Ubah saiz-+=