Peristiwa hitam ketika Op Daulat tidak patah semangat Hasnal terus berbakti

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

MELAKA 25 Mac. – Peristiwa hitam ketika bertugas dalam insiden serangan hendap penceroboh dari selatan Filipina di Kampung Simunul, Semporna, Sabah pada 2 Mac 2013 masih segar dalam ingatan DSP Mohamad Hasnal Jamil.

Biarpun lapan tahun berlalu, malah parut akibat kecederaan parah terkena tiga tembakan dan enam tetakan daripada musuh kekal berbekas hingga kini, ia tidak pernah mematahkan semangat juang pegawai berusia 39 tahun itu untuk terus berbakti kepada tanah air.

“Sebagai anggota pasukan keselamatan yang telah berjanji taat setia, tanggungjawab menjaga keselamatan dan kedaulatan negara adalah satu keutamaan yang perlu dipertahankan walaupun nyawa jadi taruhan.

“Saya memikirkan negara lebih daripada segalanya kerana polis juga merupakan benteng negara. Kita hanya ada satu sahaja negara dan siapa lagi yang akan pertahankan kalau bukan kita sendiri,” katanya ketika ditemui pada sambutan peringatan Hari Polis ke-214 Kontinjen Melaka di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Beliau merupakan penerima tunggal sumbangan Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN) di negeri ini yang disampaikan oleh Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Beliau yang bertugas di Cawangan Khas Bukit Aman ketika itu telah dihantar bagi membuat tinjauan dan melawan musuh di perkampungan air tersebut selepas perancangan awal penceroboh yang berusaha untuk menawan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna berjaya dihidu.

Mengimbas kembali berdepan detik mencemaskan ketika menyertai Op Daulat di pantai timur Sabah itu, Mohamad Hasnal berkata pada kejadian kira-kira 7.30 malam, berlaku pertempuran dan berbalas tembakan yang dimulai pihak musuh tanpa henti selama 15 minit.

“Dalam keadaan saya dan ketua Allahyarham Superintendan Ibrahim Lebar yang telah cedera parah, saya ada bertanya kepada arwah mengenai situasi semakin meruncing dan katanya kepada saya, kita lawan.

“Jadi, kami lawan dan saya lihat satu per satu rakan seperjuangan gugur, termasuk Allahyarham tuan Ibrahim yang cedera ditembak di tepi saya. Saya cuba membantunya apabila melihatnya masih hidup dan beliau sendiri tetap cuba gagahkan diri berusaha melawan musuh sebelum akhirnya tertewas,” katanya.

Malah, Mohamad Hasnal sendiri yang ketika itu turut cedera parah akibat ditetak pada kepala dan kedua-dua lengan sebelum ditembak di kedua belah tangan dan perut sehingga menembusi belakang badan tetap berjuang habis-habisan melawan musuh.

Katanya, ia satu misi mempertahankan negara walaupun terpaksa bergadai nyawa dalam insiden pencerobohan tersebut yang telah mengorbankan enam anggota polis.

“Mereka (penceroboh) dakwa, mereka mahu ambil hak mereka semula tetapi Sabah adalah sebahagian daripada negara kita. Jadi, saya dan pasukan tekad menghalang pencerobohan itu yang merupakan pencabulan kepada kedaulatan negara.

“Saya berserah ketika itu tetapi syukur alhamdulillah masih diberi peluang menikmati kehidupan hingga kini,” katanya yang menerima tiga bulan rawatan akibatan kecederaan tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

875
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak hidap leukemia teruja dapat naik kereta polis
Next post Hasil siasatan kes pukul babitkan bekas ahli politik diserah kepada TPR
Ubah saiz-+=