Sasar 70 peratus syarikat usahawan sertai platform ‘Easy Shop Melaka’

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER KEROH 24 Mac – Melaka Halal Hub Sdn Bhd (MHHSB) menyasarkan 70 peratus syarikat usahawannya menyertai platform digital ‘Easy Shop Melaka’ yang akan dibangunkan sekali gus memperkasa sektor keusahawanan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MHHSB Amir Ali berkata, setakat ini 497 produk MHHSB dihasilkan meliputi pelbagai kategori untuk dipasarkan.

“Kita ada 74 syarikat usahawan yang mana 35 syarikat usahawan adalah di bawah MHHSB dan selebihnya di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM).

“Bila ada platform itu, kita akan fokus kepada kategori makanan dan minuman, kosmetik dan kesihatan kerana ia produk yang mudah dan mendapat sambutan baik dalam kalangan pengguna,” katanya ketika dihubungi MHI.

Jelasnya, pihaknya sebelum ini telah pun melaksanakan program ke arah pendigitalan termasuk bekerjasama dengan pihak Shopee Malaysia dan Lazada untuk memasarkan produk MHHSB.

“Jadi, adanya usaha kerajaan negeri untuk buat program ini, kita akan kumpulkan semula semua usahawan untuk bersama menjayakan platform Easy Shop Melaka ini.

“Kita akan terangkan kepada usahawan apa konsep dan cara-cara yang sesuai untuk pasarkan produk termasuk menggunakan sistem dan tiada sebarang bayaran dikenakan kepada mereka,” katanya.

Katanya fokus utama MHHSB adalah memastikan semua pengusaha atau syarikat usahawannya menyertai platform itu.

“Keluar masuk pengusaha perkara biasa dalam premis kita, tapi kita boleh semak ada yang berdaftar tahun lalu ada yang dah lama sampai enam tahun lebih.

“Kalau nak sasar 100 peratus usahawan yang sertai memang tak boleh, sebab itu kita sasar hanya 70 peratus daripada usahawan sedia ada yang sertainya,” katanya lagi.

Sebelum ini Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berhasrat mewujudkan sebuah platform digital yang dikenali sebagai Easy Shop Melaka bertujuan bagi memperkasa sektor keusahawanan negeri secara komprehensif dan inklusif pada masa akan datang.

Katanya, perkara itu satu daripada intipati di bawah tema utama Melaka Negeri Usahawan dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) dilancarkan 8 Mac lalu.

Melalui pelan itu kerajaan negeri akan memberi keutamaan kepada membina dan membangunkan industri keusahawanan sedia ada yang lebih berdaya saing serta menumpukan industri baharu yang dilihat lebih berjaya di luar dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1018
Kongsi :
Previous post Penantian hampir sedekad Zoo Melaka berakhir, harimau kumbang bunting
Next post Penolong pegawai perubatan dituduh 14 pertuduhan rasuah
Ubah saiz-+=