Sulaiman kongsi dasar dan hala tuju PSMJ 2035 dan M-WEZ dengan Muhyiddin
PUTRAJAYA 23 Mac. – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima kunjungan rasmi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini, petang tadi.
Menerusi pertemuan ’empat mata’ berlangsung kira-kira 45 minit itu, Sulaiman yang genap setahun mengambil alih pentadbiran Melaka pada 9 Mac lalu, berkongsi beberapa dasar dan hala tuju penting kerajaan Melaka termasuk Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035).
Menerusi catatan ringkas di akaun Facebooknya hari ini Sulaiman turut memuat naik beberapa keping gambar pertemuan bersama pemimpin no 1 negara itu.
“Kehadiran saya di Pejabat Perdana Menteri pada jam 3.30 petang ini. Manakala, pertemuan kami berdua berlangsung kira-kira 45 minit.
“Kunjungan rasmi ini adalah bagi berkongsikan beberapa dasar dan hala tuju di bawah PSMJ 2035 dan perancangan besar Kerajaan Negeri Melaka termasuk projek berimpak tinggi Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ),” katanya.
Menerusi PSMJ 2035 yang dilancarkan pada 8 Mac lalu, lapan ‘flagships’ digariskan untuk memacu pembangunan Negeri Melaka bagi tempoh 15 tahun akan datang bermula tahun ini.
Strategi pembangunan itu diperjelaskan melalui penetapan ‘Quick Wins’ dan ‘Symbolic Actions’ serta petunjuk prestasi utama (KPI) masing-masing, yang akan dilaksanakan sebagai sokongan kepada flagship masing-masing.
Lapan flagships itu ialah, Zon Pembangunan Ekonomi iaitu Melaka Waterfront Economic Zone atau M-WEZ, Pengurusan Air Mampan, Pembangunan Bersepadu, Digital Melaka, Melaka Negeri Usahawan, Melaka Negeri Pelancongan, Melaka Hab Pendidikan serta Melaka Sejahtera iaitu Perpaduan, Kebajikan, Kesihatan, Belia dan Sukan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.