Sorting by

×

Dibenar buat liputan latihan pasukan Liga M, khabar gembira- SAM

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR 23 Mac – Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) menyambut baik dan berterima kasih kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang memberikan kelonggaran kepada petugas media untuk membuat liputan sepanjang sesi latihan pasukan dalam Liga Malaysia.

Presidennya Datuk Jasni Shafie berkata, keputusan MFL membenarkan media membuat liputan sama ada sebelum dan selepas latihan memberi khabar gembira kepada petugas media yang sebelum ini tidak dibenarkan untuk menjalankan tugas ketika sesi latihan pasukan berlangsung.

Katanya, keputusan itu menunjukkan keprihatinan MFL untuk mendengar keluh-kesah pengamal media selain mengutamakan kekangan golongan itu membuat liputan berita.

“Keprihatinan MFL mendengar rintihan pengamal media sebelum ini membuktikan mereka sentiasa memberi keutamaan kepada media yang turut sama membantu merancakkan saingan liga bola sepak di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya turut berterima kasih kepada MFL yang memutuskan petugas media terutama jurugambar dan jurukamera lagi lagi diwajibkan untuk membuat ujian RTK Antigen.

“Perkara itu sekali gus mengurangkan beban kewangan ahli media yang sebelum ini terpaksa menanggung kos ujian berkenaan.

“Kami ahli media menghargai langkah terbaru MFL ini, khususnya Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dan berharap liga bola sepak tempatan kembali meriah selepas pandemik Covid 19 ini.

“SAM berharap perkembangan ini memberikan impak positif kepada sukan negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

515
Kongsi :
Previous post MUFC akan kemuka rayuan rasmi
Next post RAS Adiba berazam terus komited memperkasa golongan OKU
Ubah saiz-+=