Sorting by

×

Polis nafi penunggang motosikal disaman kerana lesen LKM tamat tempoh

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LUMPUR 23 Mac. – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menafikan seorang penunggang motosikal dikenakan tindakan saman atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh tetapi kerana gagal mempamerkan LKM.

Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata penunggang berkenaan dikenakan tindakan saman di bawah Seksyen 20(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di Kilometer 11.9 Jalan Labohan Dagang-Nilai semasa sekatan jalan raya pada Jumaat lalu, 8.45 malam.

Beliau berkata hasil semakan mendapati LKM dan insurans motosikal terbabit masih sah tetapi lesen memandu penunggang motosikal iaitu orang kena saman (OKS) telah tamat tempoh pada 26 Disember tahun lalu dan hanya nasihat sahaja diberikan polis.

“Adalah tidak menjadi kesalahan pegawai polis tersebut mengeluarkan saman bagi kesalahan tidak pamer LKM kerana ia tidak termaktub sepertimana arahan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) yang memberikan pengecualian untuk pembaharuan LKM dan lesen memandu kompeten (CDL) yang tamat tempoh pada masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) bermula 1 Februari hingga 31 Mac 2021.

“Semasa kejadian tiada sebarang bukti dokumen LKM dan insurans (e-cover note atau e-nota perlindungan insurans) ditunjukkan oleh OKS sepertimana yang dinyatakan oleh pihak Persatuan Wakil Takaful Am Muslim (Perwatam),” katanya dalam kenyataan semalam.

Azisman berharap penjelasan ini dapat menjernihkan kekeliruan yang timbul dan menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian dan spekulasi sendiri tanpa merujuk kepada pihak berwajib.

Hari ini, media tempatan melaporkan Perwatam mempertikaikan tindakan polis menyaman seorang lelaki kerana gagal mempamerkan LKM, Jumaat lalu.

Pengerusinya, Hishamuddin Abd Aziz, dalam kenyataan dilaporkan berkata lelaki terbabit yang juga pelanggan Perwatam, dikatakan menunjukkan bukti e-nota perlindungan insurans dan memaklumkan kepada pihak polis mengenai pengecualian pembaharuan LKM itu.

Namun, beliau berkata pegawai polis tersebut didakwa memaklumkan LKM perlu juga diperbaharui dan dipamerkan sebelum mengeluarkan saman atas kesalahan tidak mempamerkan LKM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

880
Kongsi :
Previous post SPRM beri jaminan bertindak profesional laksanakan tugas
Next post Waspada hujan lebat di Johor, Sabah dan Sarawak- MetMalaysia
Ubah saiz-+=