Pembinaan kelong tingkat ekonomi nelayan
PANTAI KUNDOR 21 Mac – Nelayan Pantai Puteri menyambut baik cadangan kerajaan negeri membina kelong di perairan pantai itu bagi memajukan industri pelancongan.
Ini kerana selain meningkatkan industri berkenaan, nelayan bakal mendapat pendapatan sampingan melalui peluang menyediakan perkhidmatan membawa kaki pancing dari pantai ke kelong.
Ketua Jaringan Nelayan Pantai Puteri, Azmi Leman, 53, berkata kira-kira 300 nelayan di pantai berkenaan dari Klebang ke Pantai Kundor mengalu-alukan cadangan itu.
“Dua kelong pernah didirikan pengusaha persendirian di Pantai Puteri pada tahun 1970-an tetapi pada 1985 kedua-duanya runtuh akibat sudah uzur.
“Struktur pelantar utama diperbuat daripada batang nibong manakala jajaran tempat ikan bermain sebelum terperangkap dalam jaring di bawah kelong diperbuat daripada kayu gelam,” katanya ketika ditemui di pantai itu hari ini.
Beliau berkata, selain ikan, yang turut terperangkap dalam jaring di bawah kelong yang dipasang ketika air pasang ialah udang geragau, udang kertah dan sotong.
Nelayan, Mohd Khir Jantan, 55, berkata beliau pernah memancing di atas kelong pada zaman remaja sekitar tahun 1980-an dan merasai pengalaman mendapat pelbagai jenis ikan yang bermain di jajaran batang nibong dan kayu gelam.
“Saya yakin, jika kelong didirikan, nelayan akan mendapat manfaat dari segi menyediakan perahu untuk membawa kaki pancing ke kelong,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee baru-baru ini dilaporkan berkata, kerajaan negeri bercadang membina kelong bagi meningkatkan industri pelancongan di negeri ini.
Untuk tujuan itu kertas cadangan mengenainya sedang disediakan bagi membantu industri berkenaan, selain membantu nelayan menikmati pendapatan sampingan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.