Melaka puas hati pematuhan majikan Akta 446
ALOR GAJAH 19 Mac. – Kerajaan negeri berpuas hati dengan tahap kepatuhan majikan terhadap Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dalam menambah baik standard penginapan pekerja asing.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Wira Ar. Ismail Othman berkata, berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan susulan oleh agensi kerajaan terlibat mendapati lebih ramai majikan mematuhi penguatkuasaan akta berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan yang sama akan tetap dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan majikan mematuhi Akta 446 dan prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 yang berpunca dari kediaman pekerja asing.
“Setakat ini saya berpuas hati dengan tahap kepatuhan majikan terhadap Akta 446 dan majikan mematuhinya dengan baik serta memuaskan namun pemeriksaan yang sama akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan majikan terus mematuhi akta yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai pemeriksaan susulan ke atas sebuah kilang pengeluaran telur ayam di Alor Gajah yang sebelum ini diberi tempoh dua minggu oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri kerana kesalahan Seksyen 24D Akta 446 iaitu tiada perakuan penginapan.
Jika sabit kesalahan dan masih gagal mematuhi notis amaran tersebut, majikan terbabit boleh boleh didenda maksimum sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Bagaimanapun, kata Ismail, majikan tersebut mematuhi notis amaran berkenaan dan menyediakan kemudahan asrama pekerja yang lebih selesa dan sempurna kepada kira-kira 270 pekerja warga asing di kilang itu terdiri daripada Nepal, India dan Indonesia.
“Kebanyakan majikan sudah banyak mematuhi Akta 446 dan mereka melaksanakan apa yang dikehendaki dengan baik malah memberikan kerjasama yang baik.
“Pihak Invest Melaka Berhad bersama JTK dan JKKP akan membuat lawatan dari semasa ke semasa untuk melihat Akta 446 ini dipatuhi dan majikan menyediakan kemudahan asrama yang baik kepada pekerja mereka,” ujarnya
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.