Kerajaan negeri fail pembelaan dan tuntutan balas terhadap KAJ Development
AYER KEROH 18 Mac – Kerajaan Negeri Melaka melalui Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka hari ini, memfailkan pembelaan dan tuntutan balas terhadap writ saman KAJ Development Sdn Bhd berhubung Notis penamatan Perjanjian Penambakan laut bertarikh 4 Oktober 2017.
Kenyataan Jabatan Ketua Menteri Melaka memaklumkan dalam pembelaan itu Kerajaan Negeri menafikan tuntutan syarikat itu dan menegaskan bahawa penamatan Perjanjian Tambak Laut itu adalah sah berikutan kegagalan syarikat menyiapkan penambakan seluas 609 ekar (246.454 hektar) dalam tempoh masa yang dipersetujui iaitu 36 bulan.
Menurut kenyataan itu, sepertimana yang dipersetujui pihak-pihak melalui perjanjian terbabit, penambakan laut itu seharusnya disiapkan dalam tempoh 36 bulan.
“Dan kerajaan negeri sepatutnya mendapat 1/6 bahagian tanah dari keseluruhan kawasan yang ditambak sebagai balasan kepada kerajaan negeri.
“Kenyataan pihak KAJ dalam tuntutannya bahawa punca kelewatan menyiapkan kerja penambakan disebabkan kelewatan kelulusan teknikal diberikan kepada syarikat adalah tidak berasas.
“Kerajaan negeri percaya bahawa sebarang kelewatan di pihak KAJ disebabkan kegagalan serta ketiadaan tindakan sewajarnya oleh KAJ sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, dalam apa jua keadaan, kerajaan negeri percaya bahawa KAJ dengan jelas gagal menyiapkan penambakan di bawah perjanjian tersebut dalam tempoh masa yang diberikan.
“Atas alasan ini, kerajaan negeri berhak menamatkan perjanjian tersebut dengan pihak syarikat.
“Pada masa sama kerajaan negeri turut membuat tuntutan balas kepada KAJ berikutan kerugian yang ditanggung akibat kegagalan untuk menyempurnakan kontrak tersebut,” katanya.
Jabatan Ketua Menteri Melaka memaklumkan, antara ganti rugi yang dituntut meliputi bayaran premium tanah bagi kesemua kawasan penambakan serta 1/6 bahagian tanah hak milik kerajaan negeri di keseluruhan tapak konsesi dan bayaran cukai tanah premium berjumlah RM410,677,655.95.
“Kerajaan negeri juga menuntut balas terhadap pengayaan tidak patut (unjust enrichment) yang telah diperolehi KAJ yang terhasil daripada pelbagai pakej galakan istimewa sebagai Pemaju Induk oleh MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia).
“(KAJ) memperolehi insentif cukai bagi pengecualian cukai pendapatan dan memperoleh lesen ‘ship-to-ship transfer’ yang membolehkannya mengaut keuntungan serta penjualan sebahagian daripada PME 1 kepada pihak ketiga dengan jumlah RM43,657,000,” katanya.
Untuk rekod KAJ telah diberikan kelulusan untuk konsesi penambakan laut pada tahun 2009. Lanjutan daripada kelulusan tersebut, beberapa perjanjian penambakan di antara kerajaan negeri dan pihak syarikat telah ditandatangani pada tahun 2009, 2012, 2013 dan 2014.
Memandangkan perjanjian-perjanjian sedia ada tersebut telah tamat dan projek penambakan masih belum selesai, hasil perbincangan bersama di antara KAJ dan kerajaan negeri satu perjanjian akhir merangkumi PME1 (211.5976 ekar), PME2 (299.2624 ekar) dan PME3 (98.14 ekar) telah ditandatangani pada 4 Oktober 2017 untuk kawasan penambakan seluas keseluruhannya 609 ekar bagi tempoh 36 bulan yang tamat pada 4 Oktober 2020.
Namun, pihak KAJ didapati gagal mematuhi terma perjanjian penambakan apabila gagal menyiapkan kerja penambakan dalam tempoh yang ditetapkan.
Memandangkan Perjanjian Akhir tersebut telah tamat tempoh dan kegagalan KAJ, maka kerajaan negeri mengemukakan notis kepada KAJ untuk meremedikan kegagalan KAJ pada 12 Oktober 2020.
Memandangkan KAJ masih gagal untuk meremedikan kegagalan mereka, pada 16 November 2020 kerajaan negeri tiada pilihan lain selain mengemukakan Notis Penamatan ke atas KAJ.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.