Tanam semula pokok Batai Laut

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 18 Mac – Anak pokok Batai Laut berusia dua tahun akan menjadi ‘peganti’ kepada pokok warisan spesies sama berusia lebih 127 tahun yang tumbang di hadapan Bangunan Stadthuys, di sini, awal pagi semalam.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu ketika dihubungi berkata, ketika ini pihaknya telah pun menemukan anak pokok yang sesuai menggantikan pokok asal di lokasi sama.

“Anak pokok Batai Laut itu baharu berusia dua tahun dengan ketinggian enam meter. Tapi sebelum proses tanaman itu, kita perlu buat kajian terhadap akar-akar pokok lama yang masih berada di kawasan berkenaan.

“Kita akan cuba gali dahulu akar-akar pokok Batai Laut yang masih ada di dalam tanah untuk kajian dan pembelajaran sebelum digantikan dengan anak pokok berkenaan,” katanya.

DATUK Bandar MBMB Datuk Zainal Abu. Kredit foto MBMB

Semalam, Melaka Hari Ini (MHI) melaporkan, pokok ikonik yang menjadi lokasi wajib pelancong merakamkan gambar kenangan di ‘bangunan merah’ di sini akhirnya tumbang kira-kira jam 6.30 pagi dipercayai akibat akarnya yang telah reput.

Pokok jenis Batai Laut berusia 127 tahun itu ditanam sejak sebelum merdeka iaitu ketika era penjajahan British pada 1894 sekaligus menjadikan ia antara 300 pokok warisan berusia lebih 100 tahun yang terdapat di Melaka.

Mengulas lanjut Zainal berkata, MBMB juga sedang bekerja sama dengan syarikat konsultan arboris atau pakar penanaman, pengurusan, dan kajian pokok untuk mengenal pasti kaedah terbaik menguruskan pokok yang telah diwartakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2074
Kongsi :
Previous post Lebih banyak syarikat, pelabur ingin tingkatkan pelaburan di Melaka-Sulaiman
Next post Kerajaan negeri fail pembelaan dan tuntutan balas terhadap KAJ Development
Ubah saiz-+=