Boleh tonton Liga Super, Liga Perdana di stadium mulai 1 April ini

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KUALA LUMPUR 18 Mac – Kerajaan bersetuju membenarkan kemasukan penonton ke stadium bagi kejohanan sukan seperti Liga Malaysia mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkuat kuasa 1 April.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu setelah mendengar cadangan KBS dan pembentangan ahli jawatankuasa mesyuarat mengenai kehadiran penonton ke stadium.

“Pertama, di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hanya 10 peratus kapasiti penonton atau 2,000 orang dengan kawalan penyeliaan sepanjang masa.

“Kedua, kawasan PKP Pemulihan (PKPP) hanya 25 peratus kapasiti penonton atau 8,000 orang dengan kawalan penyeliaan sepanjang masa,” katanya dalam sidang media PKP, hari ini.

Jelasnya, semua penganjuran dengan kehadiran penonton tertakluk kepada kebenaran KBS berkuat kuasa 1 April ini dengan dua perlawanan bola sepak Liga Malaysia yang dibenarkan dahulu sebagai percubaan.

“KBS, Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memantau dan membuat penilaian pematuhan protokol ditetapkan khususnya dalam aspek pergerakan, kemasukan dan penyuraian penonton semasa perlawanan tersebut.

“Antara SOP lain, penonton perlu mendapatkan tiket perlawanan hanya secara ‘online’ sahaja, ‘season pass’ cara pengambilan dan sebagainya pihak KBS akan umumkan.

“Penjarakan fizikal minimum antara penonton 1.5 hingga dua meter, operasi jualan hanya kedai-kedai sedia ada di stadium yang dibenarkan,” katanya.

Katanya, pergerakan masuk dan keluar mestilah secara berjadual dan tersusun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

594
Kongsi :
Previous post Vaksin Sinovac tidak perlu diragui, selamat digunakan- Khairy
Next post Suri rumah 66 tahun rugi RM34,040 diperdaya ‘kekasih’ Jerman
Ubah saiz-+=