Kalimah Allah: Sultan Ibrahim titah MAINJ bantu kerajaan persekutuan

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

JOHOR BAHRU 18 Mac. – Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengambil tindakan perlu dan wajar bagi menyokong usaha kerajaan persekutuan yang memfailkan rayuan berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Titah baginda Fatwa Negeri Johor yang diwartakan kerajaan negeri pada 4 Jun 2009 secara jelas menyatakan bahawa “Penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak diharuskan, tidak dibenarkan, serta ditegah dan dilarang”.

“Di Johor, kita juga mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1991 yang melarang penggunaan kalimah yang dikhususkan secara eksklusif untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam kecuali dalam keadaan yang dibenarkan oleh perundangan.

“Fatwa Negeri Johor juga bermaksud penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam yang tidak bertepatan dengan maksud yang sebenarnya sebagaimana ajaran agama Islam adalah sama sekali tidak boleh dan tidak dibenarkan,” titah baginda yang dipetik oleh kenyataan yang dimuat naik menerusi laman rasmi Facebook baginda hari ini.

Titah Sultan Ibrahim, sensitiviti umat Islam dan kesepakatan hidup berbilang kaum dan agama perlu diambil kira dalam apa juga keputusan atau penghakiman kerana isu-isu sensitif sangat dekat di hati baginda selaku Ketua Agama Islam di Johor, khususnya apabila isu itu berkait rapat dalam ruang sempadan agama Islam.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab iaitu Baitullah, Kaabah dan solat, dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Bagaimanapun Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 15 Mac lepas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1209
Kongsi :
Previous post Khairy Jamaluddin individu pertama di Malaysia terima suntikan Sinovac
Next post Pemilik syarikat minyak masak bersubsidi, pembantu didakwa buat tuntutan palsu lebih RM600,000
Ubah saiz-+=