Laluan ‘fastlane’ untuk kenderaan pelancongan di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 18 Mac – Polis Melaka akan menyediakan laluan khas atau ‘fastlane’ untuk melancarkan perjalanan kenderaan pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) ke negeri ini pada setiap hujung minggu.

Pegawai Turus Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nikmat berkata, usaha itu diharap dapat mengalakkan lebih ramai pelancong domestik berkunjung ke negeri ini.

Tindakan itu bagaimanapun menurut beliau tidak bermaksud pihak polis melonggarkan pemeriksaaan di sekatan jalan raya (SJR), sebaliknya ia berjalan seperti biasa terhadap semua kenderaan.

“SJR kita masih ketatkan seperti sebelum ini cuma untuk kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC, kita akan buka lebih banyak lorong-lorong ‘fastline’ khusus buat mereka.

“Pihak polis akan letak papan tanda pemakluman kepada kenderaan terbabit untuk melancarkan pergerakan pelancong ke negeri ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

PEGAWAI Turus Ketenteraman Awam IPK Melaka, Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nikmat

Selain itu, katanya pihak polis juga akan melakukan rondaan berkala di lokasi SJR dan akan mengambil langkah sewajarnya untuk menguraikan kesesakan yang berlaku.

“Usaha ini selaras dengan Melaka sebagai negeri pelancongan yang sentiasa menjadi tumpuan ramai khususnya setelah MOTAC membenarkan aktiviti rentas negeri bagi sektor pelancongan,” katanya.

Pada 9 Mac lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pergerakan merentas negeri hanya untuk pelancongan domestik dibenarkan bermula 10 Mac membabitkan negeri Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sahaja.

Kebenaran itu bagaimanapun, hanya diberikan terhadap kenderaan pelancongan berdaftar dengan MOTAC dan bukanya menggunakan kenderaan persendirian yang masih dilarang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1050
Kongsi :
Previous post KADMDI sasar 5,000 belia ceburi bidang usahawan
Next post PBT diarah kaji semula tahap kesuburan pokok berusia lebih 100 tahun
Ubah saiz-+=