MPHTJ mula terima permohonan Bazar Ramadan

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 18 Mac – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menerima 10 permohonan bagi penganjuran Bazar Aidilfitri di negeri ini, setakat hari ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Shadan Othman berkata, permohonan itu melibatkan lokasi di tapak Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Batu Berendam dan Bachang.

“Kita dah terima beberapa permohonan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain, tetapi kita belum tentukan lagi siapa yang berjaya dapat.

“Jumlah peniaga di setiap bazar bergantung kepada keluasan lokasi. Katakan sebelum pandemik COVID-19 melanda boleh muatkan 100 peniaga, namun kini hanya 50 peniaga yang boleh berniaga,” katanya ketika dihubungi MHI.

Jelasnya, permohonan bagi kedua-dua bazar itu dibuka sejak kelmarin dengan syarat yang ditetapkan bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“SOP masih kekal, kita tak nak terlalu padat dan syarat penganjur bazar mestilah memohon lesen dengan menghantar borang kepada MPHTJ.

“Kebanyakan permohonan ini banyak di lokasi yang sama, contohnya di tapak MITC saja ada tiga permohonan. Kita juga akan lihat latar belakang pemohon dan pengalaman mereka sendiri,” katanya lagi.

Tambahnya, bagi Bazar Ramadan pula setakat hari ini sebanyak lima permohonan telah diterima.

“Kita sedang tapis lima permohonan ini, ada di MITC, Taman Merdeka dan Melaka baru.

“Waktu operasi mengikut SOP MKN begitu juga dengan Bazar Aidilfitri,” katanya.

Sebelum ini Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Bazar Ramadan dibenarkan beroperasi pada 3 petang hingga 8 malam, manakala Bazar Aidilfitri pada 10 pagi hingga 12 tengah malam bermula 13 April depan.

Katanya, SOP lanjut mengenai pengoperasian bazar berkenaan akan dibentangkan pihak berkuasa tempatan negeri masing-masing yang menguruskan soal lokasi dan jumlah peniaga.

Antara yang perlu dipatuhi peniaga dan pengunjung adalah lokasi bazar mesti terbuka, mempunyai laluan masuk dan keluar berbeza, menyediakan ruang pendaftaran MySejahtera dan kawalan jumlah pengunjung.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

929
Kongsi :
Previous post Liga Super: Selangor rentap ego JDT
Next post ‘Situasi menang-menang’, beri pampasan kepada nelayan- Sulaiman
Ubah saiz-+=