Golongan B40 hilang pendapatan, penerima BPR gaji bawah RM1,000 terima bantuan RM500

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

KUALA LUMPUR 17 Mac – Penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) berpendapatan RM1,000 ringgit ke bawah akan menerima bayaran tambahan RM500, manakala golongan B40 yang hilang pendapatan diberi bantuan tunai RM500 mulai Jun depan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan membabitkan peruntukan RM1.2 bilion kepada 2.4 juta penerima itu antara inisiatif di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bagi membantu golongan kehilangan pendapatan.

“Kedua-dua kategori ini melibatkan penerima berumur 21 hingga 60 tahun dan tidak melibatkan proses pendaftaran permohonan.

“Pengesahan kehilangan pendapatan dan semakan akan dibuat melalui sistem Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya.

“Untuk individu berstatus bankrap pula, Jabatan Insolvensi Malaysia akan memudahkan urusan mereka dengan pihak bank dalam menerima bantuan Kerajaan.

“Kelonggaran akan diberi untuk membuka akaun bank secara dalam talian melalui permohonan e-mel kepada cawangan Jabatan Insolvensi yang mentadbir kes mereka. Sebarang bantuan tunai yang dikreditkan tidak akan mengalami sebarang potongan ansuran bulanan,” katanya.

Katanya, kerajaan bersetuju memanjangkan tempoh kuat kuasa perlindungan bagi ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual yang akan berakhir pada 31 Mac sehingga 30 Jun, selain memperluas jenis kontrak yang terlibat.

Beliau berkata demikian pada pengumuman khas PEMERKASA yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen utama dan platform media sosial di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, inisiatif direncanakan kerajaan kali ini memfokuskan kepada golongan rentan, kurang upaya dan mereka yang kehilangan pekerjaan.

“Dalam menghadapi cabaran wabak ketika ini, kerajaan akan terus memelihara kebajikan rakyat terutamanya mereka yang masih terjejas.

“Bagi menambah baik program bantuan rentan bandar, kerajaan menyediakan peruntukan RM100 juta untuk program bantuan barangan dapur melalui inisiatif pembelian tanpa tunai memanfaatkan 300,000 isi rumah miskin di bandar utama seluruh negara.

“Bagi membantu golongan gelandangan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menubuhkan Anjung Kelana di Taman Desa Kuala Lumpur sebagai pusat perlindungan sementara,” katanya.

Mengenai inisiatif mySalam berhubung COVID-19, Muhyiddin berkata ia telah memanfaatkan lebih 70,000 golongan B40 dengan jumlah bayaran RM40 juta.

Katanya, bagi menambah baik skim itu, golongan B40 yang dibenarkan untuk dikuarantin di rumah kerana wabak tersebut layak menerima manfaat bayaran penggantian pendapatan RM50 sehari selama maksimum 14 hari tertakluk kepada pengesahan Pegawai Perubatan.

“Kerajaan juga akan memperuntukkan RM30 juta untuk meluaskan perkhidmatan kesihatan program klinik bergerak ke seluruh negara melalui program KPT PRIHATIN, KOMUNITI SEJAHTERA (KRIS) dalam menyediakan rawatan asas dan pemeriksaan percuma kepada warga tempatan.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat akan melantik 2,500 orang pegawai tambahan di bawah inisiatif MySTEP dalam melaksanakan proses verifikasi penerima bantuan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

493
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak lelaki tiga tahun meninggal dunia selepas lebih 4 jam tertinggal di dalam kereta
Next post BNM tingkat kemudahan pembiayaan automasi dan digitalisasi bantu PKS
Ubah saiz-+=