Wanita rugi RM26,200 ditipu pembelian barang kemas dalam talian
MELAKA 17 Mac. – Gara-gara terpengaruh dengan barangan kemas yang dijual lebih murah daripada harga pasaran, seorang wanita kerugian RM26,200 selepas lima utas rantai tangan dan sebentuk cincin yang ditempah secara dalam talian, tidak diterimanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Supt E. Sundra Rajan berkata, mangsa berusia 34 tahun yang juga peniaga barangan kemas secara dalam talian melihat iklan penjualan barang kemas dengan harga RM185 segram yang diiklan suspek menerusi aplikasi WhatsApp.
Beliau berkata mangsa yang tinggal di Alor Gajah berminat untuk membeli barangan kemas berkenaan kerana harga jauh lebih murah daripada harga pasaran dan telah membuat tempahan barang kemas seperti rantai tangan jenis Pulut Dakap, Kait Lipan, Lipan Double, Puteri Padu, King Coco dan cincin jenis Dendan dengan keseluruhan berharga RM26,200.
“Mangsa membuat bayaran secara berperingkat berjumlah RM26,200 ke dalam akaun milik suspek secara dalam talian, namun tidak menerima barang seperti yang dijanjikan dan suspek telah gagal dihubungi.
“Polis masih belum dapat mengenali jantina suspek kerana mangsa hanya berkomunikasi dengan suspek menggunakan WhatsApp sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sundra Rajan berkata berikutan itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Minyak di sini, semalam dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau berkata pihaknya merekodkan satu kes penipuan pembelian barang kemas dalam talian pada 2019 dengan kerugian RM3,000 dan enam kes sama pada tahun lepas membabitkan kerugian RM25,261.
Katanya jumlah itu terus meningkat pada tahun ini apabila empat kes direkodkan dengan kerugian RM31,098 dicatatkan sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.
“Polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penjualan barangan kemas secara dalam talian yang menawarkan harga lebih murah berbanding harga pasaran.
“Orang ramai juga dinasihati supaya membuat semakan ke atas nombor telefon atau nombor akaun yang meragukan di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.