Polis Melaka hanya jalankan tugas

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER KEROH 17 Mac. – “Tidak adil menyalahkan pihak polis kerana tidak bertoleransi kepada orang awam dengan mengeluarkan kompaun RM10,000,” tegas Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sharul Lalli Masduki.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kes tular remaja lelaki berusia 17 tahun yang dikenakan kompaun itu berikutan gagal mengimbas aplikasi MySejahtera di sebuah kedai runcit di Batu Berendam, di sini, Ahad lalu.

Remaja lelaki berkenaan dikenakan kompaun itu ketika mahu membeli panadol untuk ibunya di premis berkenaan.

Mengulas lanjut, Sharul Lalli berkata isu sedemikian tidak sepatutnya timbul berikutan pematuhan mengenai prosedur operasi standard (SOP) dan sebarang penguatkuasaan cukup diuar-uarkan kepada masyarakat awam sejak kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu.

“Berkaitan apa sahaja SOP atau perubahan penguatkuasaan dari semasa ke semasa disebarkan jelas kepada orang awam menerusi media sosial mahupun media (arus perdana) bagi memastikan maklumat itu sampai kepada orang awam.

“Jangan jadikan polis sebagai musuh kerana kita mengambil tindakan berdasarkan apa yang dikuatkuasakan.

“Kompaun dikenakan juga adalah maksimum dan mereka yang dikenakan kompaun itu boleh membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mengurangkan pembayaran,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Keselamatan dan Perlaksanaan Inisiatif Satu Masjid Satu Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kesalahan tidak memakai pelitup muka dan kegagalan menggunakan kod imbas MySejahtera untuk masuk ke premis adalah kesalahan yang paling tinggi dilakukan.

“Setakat ini seramai 21 individu berusia antara 17 hingga 53 tahun telah dikompaun RM10,000 bermula Jumaat hingga Rabu lalu.

“Mereka yang dikenakan dikompaun boleh membuat rayuan pengurangan bayaran kompaun di Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing,” katanya.

Mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, orang ramai yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikenakan kompaun sehingga RM10,000 berkuat kuasa 11 Mac lalu.

Bagi syarikat yang didapati melakukan kesalahan sama pula boleh dikompaun sebanyak RM50,000.

Sebelum ini, di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2394
Kongsi :
Previous post Pasang CCTV, jalin kerjasama dengan pegawai perhubungan masjid PDRM bendung jenayah
Next post Kerajaan tawar diskaun kompaun di bawah kesalahan Akta 342
Ubah saiz-+=