Pokok ikonik 127 tahun rebah di bumi bersejarah

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

BANDA HILIR 17 Mac – Pokok dianggarkan berusia lebih seabad di hadapan bangunan Stadthuys, di sini, akhirnya rebah ke bumi dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Difahamkan pokok jenis Batai Laut itu ditanam sejak penjajahan British pada 1894 dan kini akarnya sudah tidak mampu bertahan lagi menjadi punca ia tumbang.

Pengarah Jabatan Landskap Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Moahzam Asari berkata, pihaknya tiba di lokasi kira-kira jam 7 pagi tadi dan kini sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan itu.

MOAHZAM…semua pokok warisan yang masih ada di sekitar kawasan bangunan Stadhuys akan dipantau setiap enam bulan sekali dan diselenggara sebaik mungkin bagi memastikan ia dapat bertahan seberapa lama yang boleh.

Beliau berkata, faktor persekitaran mungkin menjadi punca jangka hayat pokok terbabit berakhir dan pihaknya akan segera melakukan penanaman semula di kawasan itu bagi menjaga imej kawasan terbabit yang juga Tapak Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

“Kita akan menanam semula pokok dalam masa terdekat. Tetapi untuk mendapatkan pokok yang mampu bertahan lama seperti ini memang sangat susah.

“Apapun, kita akan memikirkan spesies pokok lain yang sesuai ditanam di kawasan ini bagi menggantikan pokok yang sudah berusia lebih 100 tahun ini.

“Bagi pokok-pokok warisan yang masih ada di sekitar kawasan ini akan kita buat pemantauan setiap enam bulan sekali dan cuba selenggara sebaik mungkin dalam usaha memastikan pokok-pokok itu dapat bertahan seberapa lama yang boleh,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

POKOK jenis Batai Laut ditanam sejak penjajahan British pada 1894 dan kini akarnya tidak mampu bertahan lagi menjadi punca ia tumbang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini MBMB memantau kira-kira 300 pokok warisan berusia 100 tahun di sepanjang jajaran pihak berkuasa tempatan itu.

Antara lokasi yang masih terdapat pokok warisan ialah di Jalan Semabok Lama, Taman Bunga Merdeka dan Jalan Duyong.

“Di Duyong sahaja kita anggarkan ada 114 pokok warisan dan di Semabok Lama ada kira-kira 56 batang. Kesemua pokok ini berusia lebih 100 tahun dan mempunyai nilai-nilai sejarahnya.

“Pokok-pokok berusia seperti ini kita perlu buat pemantauan secara berkala dan kerap melakukan pembersihan seperti membuang kulat pada batang pokok untuk memastikan ia tidak stres dan boleh bertahan lama,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2704
Kongsi :
Previous post Banyak ‘jiwa kacau’ di media sosial, perlu dikawal sebelum parah
Next post Muzium bukan lagi pilihan destinasi pelancongan terakhir
Ubah saiz-+=