Harga telur murah, barang cukup

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

MELAKA 16 Mac – Tindakan Singapura menarik balik bekalan telur dari negara ini menyebabkan harga telur dijual murah berbanding kebiasaanya di beberapa pasaraya utama di negeri ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati telur gred A yang kebiasaannya dijual pada harga sekitar RM13 sepapan dijual pada harga RM10 dan gred C RM6.90 manakala gred D pada harga RM5.90.

Walaupun dijual pada harga agak rendah namun pembeli tidak melakukan pembelian panik dan bekalan bahan tersebut didapati masih mencukupi bagi menampung keperluan pengguna.

HAFIZAH…lega harga telur masih munasabah dan agak murah berbanding sebelum ini.

Seorang peniaga, Hafizah Ali, 29, berkata, pada awalnya dia agak bimbang tentang kenaikan harga telur di pasaran memandangkan Singapura menghentikan bekalan telur dari Selangor.

Namun, dia berasa sedikit lega apabila mendapati harga telur masih munasabah dan agak murah berbanding sebelum ini.

“Saya ingatkan harga telur akan naik apabila dengar berita tersebut, namun Alhamdulilah harga tidak berubah malah ikut Gred C dan D lebih murah sekarang,” katanya ketika ditemui.

Baru-baru ini, Singapura mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik telur dari pasaran yang dihasilkan oleh sebuah syarikat di Jeram, Kuala Selangor.

Ia sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penemuan Salmonella Enteritidis (SE) pada produk berkenaan yang boleh menyebabkan penyakit disebabkan makanan, jika makanan itu dimakan secara mentah atau separuh masak.

Selain itu, kata Hafizah, ekoran keadaan itu, dia mengambil keputusan untuk membeli telur tambahan memandangkan ketika ini harga bahan makanan itu agak murah.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Norena Jaafar berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada orang ramai mengenai kenaikan harga telur pada masa ini.

Menurutnya, pemantauan yang dilakukan pihaknya mendapati harga telur di pasaran masih munasabah.

Bagaimanapun beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kenaikan harga bahan tersebut diminta menyalurkan maklumat itu di Unit Penguatkuasaan kementerian bagi tindakan lanjut.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2755
Kongsi :
Previous post JKDM rampas minuman keras bernilai lebih RM1.65 juta
Next post Rasuah RM1.6 j: Pegawai JPJ antara 11 direman
Ubah saiz-+=