Bazar Ramadan, bazar Aidilfitri serta solat tarawih dibenarkan di seluruh negara

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KUALA LUMPUR: Operasi Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri serta solat Tarawih dibenarkan di seluruh negara sepanjang Ramadan tahun ini dengan syarat ketat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan dibuat Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat COVID-19 hari ini selepas mendapat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memudahkan umat Islam membuat persediaan.

“Selepas mengadakan perbincangan dan mendapat pandangan KKM dan ahli mesyuarat yang lain, hari ini Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal bersetuju untuk membenarkan operasi Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di seluruh negara serta solat Tarawih.

“Bagaimanapun prosedur operasi standard (SOP) adalah ketat dan perlu dipatuhi oleh setiap peniaga kedua-dua bazar dan juga pengunjung.

“Antaranya syarat-syaratnya lokasi bazar di kawasan terbuka, menyediakan laluan sehala-pintu masuk dan keluar berbeza, pendaftaran MySejahtera di pintu masuk dan ada kawalan jumlah pengunjung,” katanya pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Ismail Sabri berkata, waktu operasi Bazar Ramadan adalah mulai 3 petang hingga 8 malam manakala Bazar Aidilfitri dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam.

“SOP yang lain kita akan umumkan kemudian. Bagaimanapun dari sudut lokasi, jumlah gerai serta saiz tapak dan lain-lain akan ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri masing-masing.

“Jadi hari ini sebenarnya kita mendengar cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk Bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan. Mereka ada SOP yang lengkap dan kita bersetuju.

“Tapi DBKL yang akan umumkannya, manakala bagi negeri-negeri, SOPnya akan diumumkan oleh dewan bandaraya, majlis daerah majlis daerah dan sebagainya,” katanya.

Mengenai solat Tarawih berjemaah di masjid dan surau sepanjang Ramadan tahun ini, jumlah kehadiran jemaah adalah tertakluk kepada SOP dan keputusan negeri masing-masing

“Ini kerana solat atau apa saja aktiviti agama adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Bukan saja solat Tarawih, mungkin tadarus di masjid dan surau, ceramah agama atau tazkirah dan sebagainya.., jumlah kehadiran jemaah ditentukan kerajaan negeri.

“Ini tertakluk kepada kerajaan negeri, cuma kita di peringkat jawatakuasa ini bersetuju pada dasarnya solat Tarawih dan semua aktiviti di surau dan masjid pada Ramadan nanti kita benarkan,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

386
Kongsi :
Previous post Muhyiddin negatif COVID-19 pada hari keenam kuarantin di rumah
Next post Status tiga negeri PKPB tukar PKPP
Ubah saiz-+=