Sorting by

×

Hadiah terindah buat ibu tunggal dan lima anak

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

ALOR GAJAH 16 Mac. – “Tidak dapat digambarkan syukur dan leganya saya ketika ini apabila hasrat yang sudah lama tersimpan kini menjadi kenyataan, kami sekeluarga dapat berteduh di rumah yang cukup sempurna,” kata ibu tunggal Nazaria Ahmad, 42.

Menurut ibu kepada lima anak berusia 12 hingga 20 tahun itu, terpilih sebagai penerima rumah dibawah Program Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2020 adalah hadiah paling bermakna buat dirinya dan anak-anak kerana sebelum ini mereka tinggal di rumah pusaka yang sudah uzur.

Katanya, pendapatan sebagai pembantu kedai makan dengan gaji RM35 sehari sudah pasti dia tidak mampu untuk membaik pulih mahupun membina rumah baharu untuk keselesaan anak-anaknya.

BACAAN doa selamat turut diadakan sebelum program penyerahan rumah kepada keluarga Nazaria.

“Selepas kematian suami, sayalah ketua keluarga dan syukur keperitan hidup ini mendapat perhatian MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) dan ADUN sebelum dibawa ke pengetahuan pihak TNB.

“Kami tidak sangka dengan kurniaan yang indah ini, Alhamdulillah Allah kabulkan doa saya untuk memiliki rumah besar dan luas sebegini,” katanya.

Penyerahan rumah itu disempurnakan ADUN Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis dan hadir sama Ketua Retail TNB Melaka, Khairizam Ibrahim di Kampung Solok Jeram, Rembia.

Nazaria berkata, tanpa bantuan TNB melalui program ini sudah pasti impiannya yang ingin melihat anak- anak membesar dalam keadaan lebih selesa tidak akan tercapai.

“Terima kasih kepada semua yang terbabit terutamanya pihak TNB, rumah ini cukup sempurna untuk kami enam beranak dengan tiga bilik tidur dan ruang tamu termasuk bilik air yang besar ianya sungguh selesa,” katanya.

Sementara itu, Khairizam berkata, pada tahun lalu sebanyak RM300,000 diperuntukkan TNB untuk membina enam rumah baharu golongan asnaf dan pada tahun ini RM200,000 untuk membina empat buah rumah.

“Ini antara usaha TNB dalam berkongsi kemakmuran bersama-sama rakyat yang mana melalui program ini sebahagian daripada keuntungan dapat dikembalikan semula kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

597
Kongsi :
Previous post MUFC sedia lenyapkan ego ‘Sang Penyu’
Next post PKPP: Kedai mamak, serbaneka di Melaka boleh buka 24 jam tapi bersyarat
Ubah saiz-+=