Sorting by

×

Covid-19: Premis gunting rambut diarah tutup

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

DUYONG 25 JUN – Sebuah premis gunting rambut di sini, diarahkan tutup serta merta selepas empat pekerja warga asingnya didapati tidak melakukan ujian calitan (swab test) untuk disahkan bebas Covid-19, malam tadi.

Ia dikesan sepasukan penguatkuasa Jabatan Kesihatan Daerah Melaka Tengah (JKDMT) dalam operasi khas penguatkuasaan Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kira- kira jam 10 malam.

Kesemua empat lelaki warga India terbabit yang tidak tahu berbahasa Melayu ketika ditanya hanya memberi isyarat tangan dan gelengkan kepala sebagai tanda tidak tahu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Rahmad Mariman berkata, pemeriksaan premis itu mendapati ia mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti memakai apron pakai buang, jarak kerusi namun gagal kemukakan sebarang dokumen ujian saringan pengesahan bebas Covid-19.

“Malangnya ketika ditanya penguatkuasa, mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen dan ketika dihubungi, pemilik premis itu memaklumkan kesemua empat pekerja berusia antara 30 hingga 40-an itu belum lagi berbuat demikian.

“Maka, tindakan Jabatan Kesihatan adalah menutup terus premis itu selama tujuh hari,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi kira-kira jam 11 malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika pemilik premis dapat mengemukakan keputusan ujian calitan Covid-19 dalam tempoh terdekat, premis itu akan dibenarkan beroperasi semula.

“Kalau keputusan swab test itu awal, contohnya dalam masa tiga atau empat hari maka dia perlu buktikan kepada JKDMT sebelum dibenarkan beroperasi semula.

“Ini juga satu kebimbangan kita kerana sektor gunting rambut banyak melakukan sentuhan yang perlu kita patuh SOP dan diharap pemilik premis lain mengambil pengajaran,” katanya.

Rahmad berkata, difahamkan terdapat beberapa lagi cawangan premis itu di negeri ini dan tindakan pemeriksaan juga akan dilakukan bagi memastikan mereka mematuhi SOP.

“Tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” tambahnya.

Views:

873
Kongsi :
Previous post Jenazah Laskar Kanan PAP Maslim diterbangkan Ke Semporna pagi Ini
Next post Melaka jangka tiada catuan air pada gelombang kedua kemarau
Ubah saiz-+=