Malaysia teruskan perolehan vaksin AstraZeneca

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

PUTRAJAYA 15 Mac. – Malaysia akan meneruskan proses penerimaan dan pembelian vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca memandangkan tiada bukti menunjukkan vaksin itu menyebabkan darah beku, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Malaysia telah menerima maklumat daripada AstraZeneca berhubung kesan vaksinasi dan setakat ini, tiada data menunjukkan kaitan langsung antara pemberian suntikan vaksin itu dengan kes darah beku yang menyebabkan kematian di beberapa negara.

“Buat masa ini, tidak ada pendirian lain berhubung penerimaan dan pembelian AstraZeneca kerana ia masih kekal (seperti dahulu),” katanya dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini hari ini bersama dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beberapa negara seperti Denmark, Norway, Iceland dan Thailand dilaporkan menggantung sementara penggunaan vaksin itu susulan laporan berlaku pembentukan darah beku ke atas beberapa individu selepas menerima suntikan.

Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata pihaknya akan meneliti data klinikal mengenai AstraZeneca serta insiden di luar negara bagi membolehkan pakar membuat rumusan mengenai isu penggunaan vaksin itu.

Dr Adham pula berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) melakukan penelitian rapi terhadap apa jua vaksin COVID-19 yang akan digunakan di Malaysia.

“Kita percaya dengan NPRA dan untuk vaksin AstraZeneca ini, kita lihat terhadap kualiti serta keselamatan vaksin itu sendiri,” katanya.

Vaksin AstraZeneca diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 2 Mac lalu.

Khairy turut memaklumkan Malaysia akan menerima tambahan vaksin Pfizer BioNTech secara berperingkat bagi menjayakan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Beliau berkata proses penghantaran vaksin Pfizer-BioNTech hari ini melibatkan 83,070 dos dan sebanyak 124,020 dos akan diterima pada 22 Mac manakala 125,190 lagi diterima pada 26 Mac.

“Secara kumulatifnya, Malaysia akan menerima 1,000,350 dos vaksin dan ini melengkapkan penghantaran untuk suku tahun pertama,” katanya sambil menambah sejumlah 100,000 dos vaksin jenis Sinovac juga akan diterima hari ini.

Ditanya mengapa Malaysia membuat perolehan vaksin COVID-19 dalam jumlah yang besar, Khairy berkata langkah itu adalah bagi memudahkan proses mitigasi iaitu mengurangkan risiko kelewatan penghantaran vaksin ke Malaysia.

“Terdapat kemungkinan kita perlu beri ‘booster shot’ iaitu satu lagi dos pada tahun depan sekiranya wabak ini masih ada, (jadi) ada baiknya kita ada stok,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sedang melihat kemungkinan memberikan vaksin COVID-19 kepada golongan remaja.

Katanya pengeluar vaksin Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca sedang menjalankan ujian klinikal ke atas individu berumur lingkungan 12 hingga 16 tahun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

316
Kongsi :
Previous post Khairy Jamaluddin suntik vaksin Sinovac Khamis ini
Next post Kerajaan fail rayuan keputusan kes kalimah ‘Allah’
Ubah saiz-+=