Tiada nohtah nasib nelayan

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 15 Mac – Nasib 280 nelayan di kawasan Pantai Puteri hingga Pantai Kundor masih samar-samar berikutan pertemuan hari ini yang bertujuan menyelesaikan isu penambakan laut dan pembinaan jeti Pelabuhan Tanjung Beruas sepanjang 750 meter belum menemui jalan penyelesaian.

Pertemuan itu membabitkan agensi termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Lembaga Pelabuhan Melaka, Pelabuhan Tanjung Beruas Sdn Bhd dan Kumpulan Melaka Berhad serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan dipengerusikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

NOR AZMAN menunjukkan pelan penambahan jeti dan projek penambakan laut selepas selesai taklimat bersama beberapa agensi bagi penerangan penyambungan jeti di Pelabuhan Tanjung Beruas, di sini hari ini.

Ketua Jaringan Pengkalan Nelayan, Azmi Leman berkata, dalam pertemuan itu pihaknya terkejut penambahan jeti pelabuhan itu membabitkan 750 meter dan bukan 600 meter sebagaimana dilaporkan sebelum ini.

Katanya, meskipun pertemuan itu untuk membincangkan penyelesaian masalah dihadapi nelayan, namun tiada keputusan muktamad, malah pihakya dimaklumkan akan mengadakan pertemuan lain bersama kerajaan negeri.

Beliau berkata, semua nelayan berdaftar tidak menolak pembangunan, namun sekurangnya-kurangnya nasib mereka diberi perhatian melalui perbincangan yang memuaskan hati kedua-dua pihak.

“Contohnya, nelayan di Pelabuhan Klang sebelum ini turut terjejas apabila kawasan penempatan mereka mahu dibuat pembinaan dan nelayan diberikan pilihan.

“Misal kata mereka boleh bayar RM50 dengan syarat tidak boleh pergi laut selama-lamanya, jadi kepada yang masih berdegil mahu pergi (ke laut) itu sendiri tanggung risiko.

“Jadi, kami tak mahu sehingga satu tahap nasib kami tidak dipandang,” katanya ketika ditemui selepas taklimat bersama beberapa agensi bagi penerangan penyambungan jeti di Pelabuhan Tanjung Beruas, di sini hari ini.

Difahamkan, fasa pertama penambahan jeti sepanjang 50 meter sudah dilaksanakan sejak 24 Februari lalu dan fasa kedua hingga kelima membabitkan penambahan 600 meter dijangka siap pada 2026.

Bagaimanapun, permohonan bagi penambahan jeti untuk fasa kedua hingga kelima belum dikemukakan kepada kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, beliau berkata, nelayan berharap agar projek penyambungan jeti itu bagi fasa kedua hingga fasa kelima dibatalkan.

“Andai kata penambahan jeti itu dilanjutkan, bagaimana kami mahu mencari rezeki. Kami terpaksa buat alternatif mencari rezeki keluar daripada kawasan pantai meskipun ada nelayan yang tidak berpuas hati kerana kita melangkaui kawasan mereka,” katanya.

Sementara itu, Nor Azman berkata, beliau akan mengadakan pertemuan sekali lagi bersama nelayan sebelum rundingan lanjut diadakan bersama kepimpinan kerajaan negeri.

Katanya, pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya mewujudkan sumber pendapatan baharu kepada nelayan.

“Mereka tidak sepatutnya berpindah kerana kampung halaman mereka di situ, jadi kerajaan perlu fikirkan sumber ekonomi untuk membantu golongan nelayan termasuk membina kelong atau penternakan ikan dalam sangkar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

415
Kongsi :
Previous post Sedia turun padang bantu warga emas daftar vaksin
Next post Pengadil ‘kontroversi’ digantung dua minggu
Ubah saiz-+=